Kes baharu Covid-19 turun bawah 2,000, kes pulih meningkat


Ravin Palanisamy

JUMLAH kes harian jangkitan baharu Covid-19 di negara ini buat pertama kalinya menurun bawah 2,000 kes selepas hampir dua bulan dengan 1,924 kes dilaporkan dalam tempph 24 jam lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebelum ini, Malaysia melaporkan 1,741 kes pada 4 Januari.

Sementara itu kes pulih turut meningkat hampir dua kali ganda berbanding kes jangkitan hari ini selepas 3,752 pesakit didiscaj.

Jumlah kes aktif di negara ini kini 28,837 yang mana 205 dirawat di unit rawatan rapi dan 91 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Mengenai kes kematian, Dr Noor Hisham berkata 12 kes kematian dilaporkan hari ini semuanya melibatkan warganegara menjadikan jumlah keseluruhan kematian 1,100.

Daripada kes jangkitan baharu hari ini katanya, enam adaah kes import manakala selebihnya penularan tempatan.

“Daripada 1,918 kes penularan tempatan, 1,543 adalah warga Malaysia manakala 375 adalah warga asing.

“Daripada enam kes import, dua melibatkan warga tempatan dan empat lagi adalah warga asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selangor sekali lagi mencatatkan kes tertinggi berbanding negeri lain dengan 666 kes direkodkan hari ini, diikuti Johor 257 dan Sarawak 219.

Bagi jumlah keseluruhan kes setiap negeri, Selangor hampir mencapai 100,000 kes yang mana kes kumulatif yang direkodkan negeri itu 97,484.

Ini diikuti oleh Sabah 52,466 kes dan Johor 35,027 kes.

Daripada jumlah kes kematian dilaporkan hari ini, sembilan adalah di Selangor, dua di Sarawak dan satu di Pulau Pinang.

Kesemua mangsa berusia 50 tahun ke atas dan yang paling tua berumur 91 tahun berasal dari Sibu, Sarawak.

Kesemua 12 mangsa mempunyai rekod penyakit kronik yang mana 11 daripada mereka menghidap tekanan darah tinggi. – 25 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen