BEBERAPA negeri lagi di Semenanjung Malaysia mula menerima bekalan vaksin Covid-19, vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech pada hari kedua Fasa Pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.
Negeri Sembilan, Kedah, Melaka, Kelantan, Perak, Pahang dan Perlis telah menerima bekalan vaksin tersebut semalam.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam menerima suntikan vaksin Covid-19, menandakan bermulanya PICK, yang menyasar memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.
Di KEDAH, Lori DHL yang membawa kumpulan pertama bekalan 2,340 dos vaksin Pfizer-BioNTech dengan diiringi kawalan ketat keselamatan polis selamat tiba kira-kira 12.40 tengah hari tadi di stor integrasi Unit Farmasi Logistik, Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi di Klinik Air Hangat.
Terdahulu, lori membawa vaksin tersebut bergerak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Jeti Kuala Perlis, Perlis sebelum menggunakan perkhidmatan feri RORO ke Tanjung Lembung, Langkawi.
Sebaik tiba di stor integrasi Unit Farmasi Logistik, bekalan vaksin tersebut diserahkan kepada Ketua Pegawai Farmasi Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi, Fathiyah Ali dan difahamkan seramai 12 vaksinator akan menerima suntikan pada Ahad ini sebelum suntikan kepada 400 barisan hadapan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi dilakukan. – Bernama, 25 Februari, 2021.
MENYUSUL
Komen