.jpg)
SETAHUN yang lalu, rakyat Malaysia dihidangkan dengan drama politik yang diberi nama “Langkah Sheraton”, sempena hotel mewah di Petaling Jaya yang menjadi saksi kepada aksi sebahagian ahli politik yang tamak kuasa.
Sehingga hari ini, rakyat masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku sepanjang minggu Februari itu.
Segala bentuk penjelasan telah diberikan oleh pelbagai pihak, namun sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai akses maklumat atau hubungan rapat dengan mana-mana ahli politik, sukar untuk sebarang penjelasan diterima dengan mudah.
Boleh dikatakan kebanyakan rakyat Malaysia masih trauma dengan apa yang berlaku, ditambah pula dengan krisis Covid-19 yang kebetulan baru melanda ketika itu, dan kini telah melumpuhkan ekonomi, mematikan sumber pendapatan dan menyebabkan ramai terjerumus ke dalam kancah kemiskinan.
Setahun kemudian, krisis politik yang dicetuskan oleh Langkah Sheraton masih belum ada tanda-tanda surut. Mereka yang terus cuba memberi rasional untuk tindak-tanduk segelintir ahli politik pada malam itu berpendapat bahawa pertukaran kerajaan di luar waktu pilihan raya adalah sah dan tidak melanggar mana-mana undang-undang di bawah sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia.
Sebahagian menyalahkan perdana menteri ketika itu yang meletakkan jawatan secara mengejut, sekali gus menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Sebahagian yang lain pula menyalahkan kerajaan PH yang dilihat tidak prihatin dengan denyut nadi orang Melayu dan tidak serius dalam melaksanakan reformasi institusi selama 22 bulan memegang tampuk pemerintahan.
Kepelbagian naratif yang diutarakan ini gagal memberi jawapan kepada persoalan yang lebih fundamental dalam usaha memahami Langkah Sheraton dan kesannya terhadap kematangan demokrasi di Malaysia.
Persoalannya begini. Bagaimana keabsahan kuasa ditentukan? Adakah pilihan raya cukup untuk mengabsah keberadaan sesebuah kerajaan?
Adakah kejatuhan kerajaan yang diundi rakyat akibat lompatan parti dan perletakan jawatan perdana menteri cukup untuk membentuk kerajaan baharu yang absah dan kukuh?
Jujurnya, persoalan inilah yang berlegar menjelang setahun Langkah Sheraton.
Bukan mudah untuk merungkai persoalan-persoalan di atas. Sistem demokrasi berparlimen ala Westminster yang diamalkan sejak merdeka tidak memberi hak kepada pengundi untuk memilih perdana menteri, sebaliknya pengundi memilih individu untuk mewakili kawasan mereka di Parlimen.
Sistem demokrasi berparlimen juga bermakna perdana menteri dipilih dan dijatuhkan melalui sokongan majoriti ahli Parlimen dan anggota Kabinet juga dipilih dalam kalangan ahli Parlimen.
Sistem demokrasi perwakilan (representative democracy) ini bermaksud majoriti kerajaan boleh berubah apabila ada ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap kerajaan tersebut, atau menukar keahlian parti politik mereka sebelum penggal Parlimen berakhir.
Dalam sistem demokrasi berparlimen, keabsahan sesebuah kerajaan itu terhasil daripada undian rakyat yang memilih ahli Parlimen. Kemudiannya, ahli Parlimen diberi mandat untuk membentuk kerajaan dan memilih seorang dalam kalangan mereka untuk menjadi perdana menteri.
Wujud pendapat bahawa Langkah Sheraton bukan satu bentuk pengkhianatan mandat rakyat. Hal ini kerana pertukaran kerajaan sebelum pilihan raya masih boleh dilaksanakan berlandaskan undang-undang.
Secara teorinya, setiap ahli Parlimen yang hadir di Sheraton sah dipilih oleh rakyat semasa PRU14 yang lalu. Hujahnya, pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya adalah sesuatu yang boleh berlaku dalam negara demokrasi berparlimen.
Jadi, apa sebenarnya masalah dengan Langkah Sheraton?
Perselisihan ini boleh dirumus sebagai pertentangan antara proses undang-undang dengan semangat demokrasi.
Adakah sebuah kerajaan yang terbentuk melalui proses undang-undang yang sah bermaksud kerajaan tersebut juga sebuah kerajaan yang demokratik, seterusnya mempunyai keabsahan kuasa untuk memerintah?
Atau mungkinkah saluran perundangan sahaja tidak cukup untuk menjadikan kerajaan tersebut absah keseluruhannya?
Adakah terdapat kelompongan dalam undang-undang negara ini sehingga kerajaan yang dibentuk walaupun melalui proses perundangan yang termaktub, masih diragui keabsahannya?
Sama ada kegagalan institusi memastikan hal ini, atau individu dalam institusi pentadbiran negara gagal mengelakkan perkara ini terjadi. Jawapan kepada persoalan ini yang harus kita bahaskan dengan lebih lanjut.
Kekesalan dengan rangkaian peristiwa yang berlaku pada minggu akhir Februari 2020 mungkin disebabkan harapan menggunung sebahagian rakyat terhadap gelombang perubahan yang lahir pasca PRU14 yang meniup semangat baharu buat negara Malaysia.
Proses pertukaran gabungan parti politik yang memerintah kerajaan Persekutuan secara aman yang kita selalu lihat dan dengar berlaku di banyak negara lain akhirnya menjadi realiti di Malaysia. Sejarah telah tercipta.
Bagi penulis, usaha memahami apa sebenarnya berlaku setahun yang lampau terlalu mengecewakan dan melemahkan.
Cukuplah sekadar mengingati bahawa 9 Mei 2018 merupakan kali pertama penulis membuang undi. Beratur selama 3 jam di bawah terik matahari tidak menjadi masalah besar ketika itu, begitu berkobar semangat untuk melaksanakan tanggungjawab dan menuntut hak sebagai seorang rakyat Malaysia.
Masih terasa kegembiraan melihat begitu panjang barisan anak muda sabar menanti giliran mengundi.
Masih terbayang wajah sahabat yang percaya sepenuhnya kepada harapan Malaysia Baharu, mengorbankan gaji sektor swasta mereka yang lumayan demi menabur bakti buat negara tercinta sebagai kakitangan kerajaan dan pegawai menteri.
Memang benar, pilihan raya bukanlah segala-galanya. Kematangan dan kesihatan sebuah demokrasi tentunya bergantung juga kepada pemisahan kuasa, kebebasan individu, kebebasan bersuara, keadilan sejagat, libat urus rakyat dalam pembuatan dasar dan pelbagai faktor lagi.
Namun begitu, penulis berharap mereka yang mempertahankan Langkah Sheraton sebagai suatu “kebiasaan” dalam demokrasi berparlimen ingat bahawa sebilangan besar rakyat masih bergantung harap kepada proses pilihan raya yang bersih, bebas dan adil sebagai cerminan kepada aspirasi mereka.
Tambahan pula, Malaysia hanya mengamalkan pilihan raya di peringkat negeri dan Persekutuan, yang lazimnya diadakan setiap lima tahun. Pilihan raya pihak berkuasa tempatan tidak lagi wujud, sekaligus mengehadkan sarana yang tersedia untuk rakyat Malaysia memilih pemimpin mereka.
Justeru itu, mandat yang diberikan rakyat ketika pilihan raya umum adalah amanat yang sangat berharga dan cukup sakral.
Hingga hari ini, sebahagian rakyat Malaysia masih dihantui memori Langkah Sheraton. Tidak mungkin peristiwa sebesar ini akan padam dengan begitu cepat daripada lembaran sejarah negara kita.
Walaupun memori ini kadangkala melemahkan, penulis berharap sekurang-kurangnya Langkah Sheraton memaksa kita semua mempersoalkan keabsahan kuasa, dari mana kuasa datang dan bagaimana kuasa digunakan.
Hanya dengan terus mempersoal takrif kuasa ini, sepertimana ahli-ahli falsafah sejak bermulanya tamadun manusia ribuan tahun dahulu, akan kita kekal cakna tentang tindak-tanduk pihak berkuasa dan tidak tertipu dengan janji-janji yang ditabur pada setiap pilihan raya.
Jika Langkah Sheraton berjaya membuka minda rakyat untuk memikirkan persoalan demokrasi secara lebih kritikal, bermakna wujudlah sebutir hikmah di sebalik tragedi yang menimpa politik negara setahun yang lalu. – 25 Februari, 2021.
* Aira Azhari, seorang penyelidik di sebuah badan pemikir tempatan.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen