Patuh titah Agong, Parlimen perlu bersidang, kata ketua penerangan Umno


Umno mendesak perdana menteri mengadakan sidang Parlimen susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong membenarkan persidangan diadakan ketika negara masih darurat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2021.

UMNO mengalu-alukan pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dalam memutuskan Parlimen boleh bersidang ketika negara diisytiharkan darurat, kata Shahril Hamdan.

Ketua penerangan Umno berkata keputusan Agong itu membuktikan ketua negara yang memayungi rakyatnya meletakkan sistem demokrasi berparlimen pada tahap yang amat tinggi.

“Ia juga membuktikan Seri Paduka Baginda mengutamakan prinsip keluhuran Perlembagaan dan setiap cabang sistem demokrasi negara perlu akur kepada prinsip tersebut –  termasuklah kerajaan Malaysia (eksekutif),” katanya di Facebook hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang semasa perintah darurat masih berjalan.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri,” kata Fadil.

Katanya, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

Shahril berkata pendirian agar Parlimen kembali bersidang sesegera mungkin selari dengan hasrat memelihara peranan semak dan imbang yang dimainkan oleh ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Pendirian inilah yang mendorong kepimpinan Umno menggesa suatu solusi yang membenarkan persidangan Parlimen tanpa sesekali pun membelakangi titah Agong.”

Shahril merujuk kepada Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said daripada Umno yang menyokong supaya Parlimen bersidang semula. – 24 Februari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen