PERMINTAAN maaf terbuka dilakukan Dr Mahathir Mohamad semalam pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Bersatu menerima reaksi bercampur baur penduduk Sabah.
Ada yang bersedia memaafkan, ada juga yang masih tidak memaafkan bekas perdana menteri paling lama memerintah itu.
Untuk sesetengah pihak, Dr Mahathir diingati kerana menggunakan undang-undang menekan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), apabila pemimpin negeri itu tidak dibenarkan bercakap mengenai hak istimewa negeri itu kerana bimbang dipenjarakan.
Bagi kebanyakan anak muda Sabah, pengetahuan tentang Perjanjian Malaysia 1963, Laporan Antara Kerajaan yang menyebut tentang hak istimewa negeri itu dalam Persekutuan Malaysia juga disembunyikan daripada pendidikan awam diterima mereka.
Dr Mahathir juga dipersalahkan kerana peranannya membawa masuk ramai pendatang tanpa izin ke Sabah dan memberikan mereka kewarganegaraan menerusi Projek IC.
Presiden Parti Kerjasama Anak Negeri Sabah (PAN), Henrynus Amin berkata, tindakan itulah yang menyebabkan rasa tidak percaya kepada Dr Mahathir terus kekal wujud.
“Ramai rakyat Sabah masih curiga kepada niatnya, malah dalam pakatan pembangkang sendiripun, walaupun Dr Mahathir mungkin ikhlas membuat permohonan maaf itu,” katanya.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airuku (Star), Jeffery Kitingan antara mereka yang ditahan pada 1991 di bawah ISA masih menganggap dirinya tahanan politik Dr Mahathir kerana membangkitkan hak istimewa negeri itu.
Jeffrey ditahan kerana didakwa berperanan cuba membawa keluar Sabah dari Malaysia. Beliau ditahan bersama-sama lima ahli PBS dan seorang pegawai polis di bawah operasi dipanggil “Operasi Talkak”.

Dalam banyak ucapannya, Jeffrey seringkali berkongsi pengalamannya dengan bekas perdana menteri itu, walaupun ketika ditahan beliau bukanlah ahli politik.
“(Dr) Mahathir memanggil saya pada satu hari dan beritahu yang saya tak sepatutnya beritahu orang apa yang mereka tak tahu. Dia tak suka saya bangkitkan isu hak Sabah di bawah Perjanjian 20 Perkara Sabah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan yang niatnya bukan pemisahan, tetapi membangkitkan kesedaran dalam kalangan penduduk Sabah mengenai hak istimewa negeri itu.
“Dia mahukan semuanya berpusat, malah tanah juga berpusat. Dia menentang hak negeri. Ironinya, sekarang, dia bercakap tentang kesediaan untuk menghormati dan mengembalikan hak Sabah. Adakah dia serius atau hanya main politik?” tanya Jeffrey.
Jeffrey memang menjangkakan yang satu hari nanti Dr Mahathir akan bertaubat dan menebus kesilapan silamnya terhadap negeri-negeri Borneo, juga curiga terhadap pengerusi Pakatan Harapan itu yang sekarang berubah pendirian dan mahu mengembalikan hak istimewa negeri-negeri itu.
Di bawah manifesto Pakatan Harapan Sabah dan Sarawak, pakatan pembangkang berikrar mengembalikan 50% kutipan pendapatan persekutuan yang diterima dari negeri-negeri itu, dan mengangkat taraf Malaysia Timur menjadi rakan setaraf dalam Persekutuan Malaysia.
Sementara itu pula, Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking mengatakan permintaan maaf itu adalah tindakan simbolik dalam usaha Dr Mahathir menamatkan hayat politik Umno.
“Mungkin Dr Mahathir akan menjadi satu-satunya pemimpin yang hidup cukup lama sehingga mampu meminta maaf atas silapnya. Tetapi adakah kita memikirkan mengapa dia meminta maaf sekarang.
“Lelaki berusia 93 tahun inilah yang mencipta Umno Baru dan dia merancang menghapuskan ciptaanya sendiri. Ini adalah sebab dia berbuat begitu (meminta maaf),” katanya.

Dr Mahathir membentuk Umno Baru pada 1989 menggantikan Umno diasaskan di Johor Bahru pada 11 Mei 1946 yang diisytiharkan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1988.
Menurutnya, Dr Mahathir mahu membetulkan semua kesilapan Barisan Nasional dan memperkenalkan kerajaan pelbagai kaum yang baru.
Seorang pemerhati politik yang mahu dikenali sebagai Bob Munang pula mengatakan Projek IC yang didakwa didalangi Dr Mahathir bertujuan untuk menamatkan pemerintahan PBS pada tahun 90-an.
“Dr Mahathir telah diberikan maklumat salah tentang PBS yang didakwa anti Islam dan anti Persekutuan. Ini adalah antara kesilapan Dr Mahathir yang dianggapnya (ketika itu) sebagai kebenaran.
“Walaupun jentera kerajaan Persekutuan digunakan untuk menjatuhkan PBS, ia tetap menang pada 1986, 1990 dan 1994, tetapi malangnya ditewaskan pada 1994 selepas beberapa pemimpin tertinggi PBS berpaling tadah,” katanya.
Projek IC bagaimanapun dilupakan banyak pihak apabila Umno Sabah mula berkuasa dan ini terbukti dengan jumlah kerusi di miliki Umno di Sabah ketika ini, katanya lagi.
Munang merujuk kepada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 kerusi Parlimen di Sabah yang dipegang Umno. Kebanyakannya terletak di kawasan majoriti orang Islam dan pendatang. – 31 Disember, 2017.
Komen