Sarawak catat kes harian Covid-19 tertinggi


Sarawak catat 353 jangkitan baharu Covid-19, jumlah kes tertinggi dalam sehari yang pernah dilaporkan berbanding sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2021.

SARAWAK hari ini mencatatkan 353 jangkitan baharu Covid-19, jumlah kes tertinggi dalam sehari yang pernah dilaporkan berbanding sebelum ini.

Menurut laporan harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, daerah yang melaporkan kes baharu ialah Sibu (181), Meradong (67), Kuching (31), Bintulu (22), Kapit (18), masing-masing lapan di Miri dan Subis; Betong (enam), masing-masing tiga di Bau dan Dalat; Samarahan (dua) dan masing-masing satu di Kanowit, Saratok, Julau serta Serian.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sarawak meningkat kepada 8,650 kes namun tiada kematian dilaporkan hari ini.

Terdapat 139 kes pulih dan dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang pulih atau dibenarkan pulang setakat ini ialah 6,238 orang.

Laporan itu turut menyatakan jumlah kes aktif yang masih menerima rawatan serta diasingkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan wad hospital mengikut hospital rujukan ialah 2,306 orang dengan sejumlah 375 individu dalam siasatan (PUI) baharu dilaporkan.

Jawatankuasa itu juga melaporkan terdapat 25 kluster yang masih aktif di Sarawak dengan Kluster Emperoh Jambu, Padawan mencatatkan 31 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 101.

Kluster lain yang mencatat pertambahan kes ialah Kluster Jalan Muhibbah, Betong (lima kes) dan Kluster Sungai Bakong, Meradong (65). – Bernama, 24 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen