IRELAND melanjutkan perintah berkurung ketiga bagi mengekang Covid-19 selam sebulan, umum Perdana Menteri Micheal Martin pada Selasa, menyalahkan varian virus yang pertama kali dikenal pasti di United Kingdom (UK) sehingga membawa kepada keputusan itu.
Langkah sekatan sedia ada - dilaksanakan sejak akhir Disember - akan berakhir pada 5 Mac tetapi kini akan dilanjutkan sehingga 5 April.
Perniagaan, restoran, pub dan gimnasium tidak penting ditutup. Gesaan baharu agar rakyat tinggal di rumah turut dibuat dan had perjalanan sejauh 5km akan diteruskan, kata perdana menteri Ireland itu ketika berucap melalui siaran di televisyen.
“Kita perlu mengambil kesempatan sepanjang Mac untuk menurunkan jumlah kes dan memastikannya serendah mungkin,” kata Martin.
“Kita hanya perlu terus fokus dan menjalani beberapa bulan ini dengan selamat bersama.”
Perdana menteri Ireland menegaskan varian Covid-19 yang pertama kali dikenal pasti di UK - dan di Ireland pada 25 Disember - menjadi “masalah besar” dan kini menjadi penyebab “hingga 90%” jangkitan baharu.
“Ia hampir sama dengan virus baharu,” katanya.
“Apa yang nyata, ia telah mengubah dinamik dengan ketara dan kita perlu sangat berhati-hati ketika mengambil langkah selanjutnya.”
Semua sekolah di Ireland, yang tidak dibuka semula selepas cuti Disember dan sebahagian besarnya ditutup, akan bermula secara berperingkat pada Isnin, kata Martin.
Namun, beliau enggan mendedahkan butiran rancangan untuk menamatkan perintah berkurung seluruh negara.
“Kita mesti memantau keadaan dengan sangat hati-hati dan terus mengawasinya,” katanya.
Martin berkata lebih 350,000 vaksin kini sudah diberikan di Ireland - negara yang mempunyai 4.9 juta penduduk dengan 4,181 kematian setakat ini.
Perdana menteri berjanji lebih 1 juta dos vaksin akan diberikan setiap bulan pada April, Mei dan Juni - dengan lebih 80% orang dewasa yang layak menerima sekurang-kurangnya dos pertama pada awal Julai.
Republik itu berjaya menangani dua gelombang jangkitan sebelum ini dengan angka kes dan kematian yang relatif rendah, tetapi virus itu melonjak selepas sekatan dilonggarkan menjelang Krismas pada akhir Disember.
Pada awal Januari, negara ini mempunyai kadar jangkitan per kapita tertinggi di dunia, menurut data Universiti Oxford.
Kira-kira 45% daripada semua kematian akibat virus itu berlaku sejak awal 2021. – AFP, 24 Februari, 2021.
Komen