PENDIDIK di institusi pendidikan kerajaan lain termasuk guru sekolah swasta juga harus dimasukkan ke dalam fasa pertama program vaksin Covid-19, kata Teo Nie Ching.
Ketika kerajaan sedang menimbang untuk memasukkan guru sekolah kerajaan, keutamaan juga perlu diberi kepada lebih 30,000 guru sekolah swasta dan institusi pendidikan kerajaan lain, menurut bekas timbalan menteri pendidikan itu.
“Saya gembira guru-guru di sekolah kerajaan diberi keutamaan, namun pendidik di Pusat Anak Genius, agensi kerajaan yang lain dan sekolah swasta tidak harus diketepikan kerana mereka dan pelajar juga terdedah kepada jangkitan.
“Selain guru di sekolah kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan, adakah guru-guru yang berisiko tinggi dan mempunyai masalah morbiditi yang mengajar di agensi kerajaan lain (seperti Pusat Anak Genius, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Negeri, Maktab Rendah Sains Mara, Maktab Tentera Diraja) dan sekolah swasta (sekolah antarabangsa, sekolah agama, sekolah persendirian Cina, sekolah ekspatriat) dimasukkan dalam fasa pertama program imunisasi?” kata ahli Parlimen Kulai itu dalam satu kenyataan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin baru-baru ini berkata kementeriannya bercadang untuk memasukkan guru dalam fasa pertama program imunisasi Covid-19 yang bermula hari ini.
Beliau yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
Teo dalam pada itu ebrharap semua guru diberi keutamaan selepas petugas kesihatan dan barisan hadapan.
“Ini penting bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak selain memberi kestabilan kepada ekosistem pendidikan.”
Sesi persekolahan secara semuka akan bermula 1 Mac bagi sekolah rendah, manakala sekolah menengah pada April.
Menurut Teo lagi, lebih daripada 55,000 guru di sekolah kerajaan yang tergolong dalam kategori berisiko tinggi dan mempunyai masalah morbiditi perlu diberi suntikan vaksin Covid-19 sebelum sekolah dibuka.
“Dos pertama vaksin mengambil masa tiga ke lima hari untuk berkesan, dan sekolah akan dibuka semula tidak lama lagi. Adakah 55,539 guru ini akan divaksin sekurang-kurangnya lima hari sebelum sekolah dibuka?”
Vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia pada Ahad lalu dan fasa pertama Program imunisasi Covid-19 bermula hari ini.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menjadi individu pertama menerima vaksin tersebut. – 24 Februari, 2021.
Komen