Kena setuju dengan saya, tegas Dr Mahathir


Amin Iskandar

Dr Mahathir Mohamad berucap ringkas dalam acara di Batang Berjutai, Selangor hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 31 Disember 2017.

PENGERUSI Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad menyeru agar pemimpin Pakatan Harapan bersetuju dengannya jika ingin mengecapi perubahan.

Katanya, persetujuan itu mesti disandarkan sekiranya ingin beliau diberi mandat untuk melakukan perubahan terbabit.

“Kalau nak saya ada kuasa untuk buat perubahan kena setuju dengan saya,” katanya dalam ucapan ringkas semasa satu acara anjuran parti Bersatu di Batang Berjuntai hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perubahan yang bakal dilakukan sekiranya Pakatan berjaya mengambil alih pentadbiran negara.

Walau namanya disebut-sebut sebagai calon perdana menteri sementara sekiranya Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum akan datang, masih terdapat kalangan dalam gabungan tersebut yang masih sangsi padanya.

Antaranya, PKR yang menetapkan tiga syarat untuk membolehkan beliau dinamakan sebagai calon perdana menteri sementara.

Syarat tersebut termasuk memastikan agar ketua umum Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri.

Ini kerana Anwar masih tidak dapat bertanding dalam pilihan raya untuk tempoh lima tahun selepas dibebaskan dari hukuman penjara, melainkan dengan campur tangan Yang Di-Pertuan Agong.

Semalam, Dr Mahathir secara bersahaja menyebut bahawa jawatan perdana menteri itu sememangnya hanyalah sementara.

Kalau nak saya ada kuasa untuk perubahan, kena setuju dengan saya, kata Dr Mahathir hari ini pada satu majlis di Batang Berjuntai. – Gambar The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.

“Semua perdana menteri adalah sementara. Lima tahun sahaja. Kadang-kadang dia sakit, tak sampai lima tahun,” kata Dr Mahathir, 93, yang sudah berulang kali dirawat di hospital ekoran masalah jantung.

Dalam ucapannya semalam, beliau memberi jaminan bahawa Pakatan akan mengembalikan kebebasan bersuara dan turut memohon maaf atas kesilapan lampaunya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa ia bukanlah satu pengakuan ke atas kesalahannya tetapi hanya mengikut budaya orang Melayu yang meminta maaf jika menyinggung perasaan.

Acara yang disertainya hari ini dianjurkan bersama Parti Tindakan Hak Minoriti, sebuah parti bebas yang berhasrat untuk menyertai Pakatan.

Majlis berkenaan merupakan acara pertemuan dengan masyarakat India di kawasan Batang Berjuntai. – 31 Disember 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen