REAKSI selepas imunisasi petanda vaksin Covid-19 telah mula berfungsi, kata doktor melalui forum dalam talian malam ini bagi mengurangkan kerisauan ketika Malaysia akan melancarkan program imunisasi kebangsaannya.
Dr Musa Nordin, pakar perunding pediatrik di Hospital Pakar KPJ Damansara berkata vaksin mempunyai lebih banyak faedah berbanding risiko.
Kesan sampingan yang dilaporkan semasa menerima vaksin Covid-19, seperti sakit kepala dan sakit otot adalah tanda-tanda vaksin telah mula berfungsi dan tubuh telah mula menghasilkan antibodi, katanya.
Malah kelaziman (prevalence) alahan kacang jauh lebih tinggi daripada reaksi seperti anafilaksis atau reaksi yang dipacu oleh vaksinasi, tambahnya.
“Bagi sesetengah orang, ini sangat mengganggu tetapi bagi doktor ini sangat bagus kerana ia bermaksud vaksin mulai masuk,” katanya mengenai sakit kepala dan sakit otot.
Pakar Perunding Respiratori Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Helmy Haja Mydin bersetuju dengan Dr Musa.
“Sekiranya saya mendapat vaksin influenza dan jika saya tidak ada reaksi, saya mula berfikir adakah ia berjaya. Kamu sangka sistem ketahanan badan kamu bertindak balas,” katanya.
Dr Helmy berkata, ketika timbul persoalan mengenai komplikasi jangka panjang dari vaksinasi, kesan jangka pendek dari penularan Covid-19 juga sangat dahsyat.
Selain daripada kesan ekonomi dan nyawa yang hilang, Dr Helmy berkata bekas pesakit Covid-19 telah mengalami masalah pernafasan jangka panjang.
Kedua doktor itu bercakap dalam webinar bertajuk “Covid-19 Vaccines: Doubts, Myths And Facts” bersama dengan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii.
Webinar itu dihoskan bersama Galen Center for Health & Social Policy dan Research for Social Advancement (Refsa)
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dijadualkan bermula esok dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menjadi rakyat Malaysia pertama diberi vaksin. – 23 Februari, 2021.
Komen