2 lagi kematian Covid-19 di Sarawak, 1 kluster baharu


Sarawak merekodkan dua lagi kes kematian akibat jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kematian di negeri itu kepada 76 orang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 23 Februari, 2021.

SARAWAK merekodkan dua lagi kes kematian akibat jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kematian di negeri itu kepada 76 orang atau sebanyak 0.92 peratus daripada keseluruhan kes positif yang dilaporkan.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataannya hari ini, kes kematian ke-75 melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu.

“Kes berasal dari daerah Sibu, telah mengalami gejala seperti demam dan batuk selama beberapa hari sebelum mendapatkan rawatan awal dan membuat saringan Covid-19.

“Saringan ujian rT-PCR yang telah dibuat di Hospital Sibu didapati positif pada 8 Feb. Keadaan kesihatan kes semakin merosot dan telah disahkan meninggal dunia pada 22 Feb,” menurut kenyataan itu.

JPBN memaklumkan kes kematian ke-76 pula melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 74 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu apabila keputusan ujian rT-PCRnya sebagai saringan kontak rapat adalah positif Covid-19.

Kenyataan itu memberitahu kes tidak mengalami sebarang tanda dan gejala namun keadaan kesihatan kes merosot dan disahkan meninggal dunia pada 23 Feb selain mempunyai ko-morbid Parkinson serta mempunyai kaitan dengan Kluster Geronggang di Sibu.

Hari ini, terdapat 133 kes baharu Covid-19 telah dikesan di Sarawak iaitu 36 di daerah Meradong, Sibu (28), Betong (17), Samarahan (13), Kuching (12), Bintulu (lapan), Julau (enam), Subis (enam), Miri (tiga), Saratok, Kanowit, Beluru dan Dalat masing-masing satu kes.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak juga telah mengisytiharkan satu kluster baharu di Daerah Betong iaitu Kluster Jalan Muhibbah melibatkan kluster komuniti yang berlaku di sebuah rumah kediaman di Jalan Muhibbah di Bandar Betong melalui perhimpunan sosial persendirian pada 10 Februari lepas.

Sementara itu, satu kluster lagi telah diisytiharkan tamat iaitu kluster Bah Sayap di daerah Miri setelah tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari dari tarikh kes terakhir dikesan. – Bernama, 23 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen