KES aktif berterusan menurun apabila kes pulih harian Covid-19 sekali lagi mengatasi kes baharu, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan berkata terdapat 30,475 kes aktif dicatatkan hari ini berbanding 32,076 yang dilaporkan semalam.
Beliau berkata angka kes pulih melebihi jumlah kes baharu Covid-19 selepas seramai 4,055 pesakit pulih dari koronavirus dalam tempoh 24 jam terakhir.
“Jumlah kes pulih dari virus itu kini berjumlah 256,678 orang,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata terdapat 2,468 kes baharu yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir.
“Kes baharu telah menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 288,299,” katanya.
Katanya, Selangor mendahului jumlah harian dengan 932 kes diikuti Johor dan Perak masing-masing dengan 428 dan 308 kes.
Putrajaya, Labuan, Terengganu mencatat pertambahan satu digit dalam kes baru, sementara Perlis merupakan satu-satunya negeri yang tidak melaporkan jangkitan baru.
Sementara itu, Noor Hisham berkata sebanyak 14 kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah kematian sebanyak 1,076.
Noor Hisham berkata, 196 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 92 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 23 Februari, 2021.

Komen