Wakil rakyat Pakatan gesa Parlimen bersidang


Parlimen boleh bersidang tertakluk kepada SOP yang ditetapkan KKM, kata wakil PH dalam jawatankuasa khas bebas darurat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2021.

AHLI Parlimen Pakatan Harapan (PH) dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 menggesa sidang Parlimen diadakan dalam masa terdekat walaupun darurat masih berkuat kuasa.

Keputusan tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat pada Khamis minggu lalu, kata tiga ahli Parlimen berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Saifuddin Nasution (Kulim-Bandar Bharu), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Loke Siew Fook (Seremban) berkata sidang Parlimen boleh diadakan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), seperti yang dilaksanakan sepanjang persidangan tahun lalu.

Persidangan Parlimen penting bagi memastikan semua agenda dan langkah membendung pandemik Covid-19 dapat dibahaskan ahli-ahli Parlimen, tegas mereka.

Selain itu, ia juga untuk memastikan semak dan imbang terhadap segala berkenaan pandemik Covid-19.

“Keputusan untuk mengembalikan persidangan Parlimen juga akan memberi keyakinan kepada dunia luar dan pelabur asing bahawa Malaysia tetap komited terhadap sistem demokrasi berparlimen dan prinsip kedaulatan undang-undang atau ‘Rule of Law’,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Perisytiharan darurat diumum pada 18 Februari lalu untuk membendung penularan Covid-19, sekali gus menggantung Parlimen dan memberi kuasa mutlak kepada kerajaan untuk mengambil sebarang tindakan.

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dianggotai 19 ahli dan dipengerusikan bekas ketua hakim negara Ariffin Zakaria, yang berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai darurat dan penamatannya.

Jawatankuasa berkenaan turut dianggotai bekas ketua polis negara Norian Mai dan bekas panglima Angkatan Tentera Zulkifli Zainal Abidin, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia Ter Leong Yap, Pro-Canselor Universiti Cyberjaya  Dr R Palan dan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin. – 23 Februari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen