182,520 dos tambahan vaksin Covid-19 tiba esok, kata Khairy


Ragananthini Vethasalam

Kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos tiba di KLIA pada Ahad lalu melalui penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dikendalikan oleh MASKargo. – Gambar EPA, 23 Februari, 2021.

MALAYSIA akan menerima 182,520 dos tambahan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech esok, yang akan diedar ke negeri-negeri yang belum menerima bekalan, kata kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

“Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak akan terima bekalan mereka esok.

“Manakala Pahang, Terengganu, Kelantanm Sabah, Sarawak dan Labuan pada Khamis,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad lalu melalui penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd (MASKargo).

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 esok.

Khairy yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata Kementerian Pendidikan telah mengenal pasti seramai 55,539 guru dalam kategori berisiko tinggi yang mempunyai masalah morbiditi.

Beliau berkata pihak berkuasa akan mengusahakan supaya golongan tersebut dimasukkan ke dalam fasa pertama sebelum sekolah mula dibuka.

Fasa pertama yang bermula esok sehingga April akan melibatkan petugas kesihatan dan barisan hadapan.

Fasa kedua pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya.

Manakala Fasa ketiga dari Mei hingga Februari tahun depan untuk individu berumur 18 tahun ke atas. – 23 Februari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen