7 daripada 8 kluster Covid-19 berkait tempat kerja 


Ravin Palanisamy

Tiga kluster tempat kerja dilaporkan di Selangor, satu masing-masing di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Negeri Sembilan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2021. 

TUJUH kluster berkait dengan tempat kerja dan satu kluster komuniti dikenal pasti Kementerian Kesihatan dalam tempoh 24 jam lalu, kata Dr Noor Hisham Abdullah. 

Ketua pengarah kesihatan berkata 278 kes dikenal pasti daripada kluster yang dilaporkan hari ini, yang mana 218 daripadanya berkait dengan tempat kerja. 

Noor Hisham berkata daripada tujuh kluster tempat kerja, tiga dilaporkan di Selangor, satu masing-masing di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Negeri Sembilan. 

Beliau berkata kebanyakan kes kluster komuniti dikesan di Sarawak. 

Noor Hisham berkata daripada kluster tempat kerja, kluster Industri Sungai Gadut yang dikenal pasti di sebuah kilang di Negeri Sembilan menyumbang kes paling banyak iaitu 65 kes. 

Katanya di Selangor tiga kluster menyumbang kepada 65 kes yang mana kluster Lombong Timah sahaja melaporkan 45 kes. 

Dua lagi kluster di negeri itu iaitu kluster tapak pembinaan Jalan Kota dan kluster Pasar Jalan Putra masing-masing melaporkan 11 dan sembilan kes. 

Di Kuala Lumpur katanya, kluster tapak pembinaan Sungai Batu melaporkan 25 kes. 

Sementara itu kluster Sungai Bakong di Sarawak melaporkan 22 kes dan kluster Sungai Hilir di Pulau Pinang merekodkan 41 kes. 

Satu-satunya kluster komuniti di Sarawak adalah kluster Emperoh Jambu. 

Dr Noor Hisham berkata kluster berkenaan dikesan selepas masyarakat menghadiri majlis pengebumian antara 3 dan 5 Februari, 2021 dengan 60 kes dikesan setakat ini.

Katanya lapan kluster baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster di negara ini 1,082, yang mana 504 daripadanya masih aktif. 

Daripada kluster aktif itu, 99 kes baharu dilaporkan. 

Menurutnya, kluster yang melaporkan kes tertinggi hari ini adalah Sungai Putus dengan 186 kes, tapak pembinaan Jalan Pantai (62 kes) dan Jalan Cochrane (54 kes). 

14 kluster ditamatkan hari ni menjadikan jumlah keseluruhan kluster tamat ialah 578.– 22 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen