Selangor kembali catat kes tertinggi Covid-19  


Ravin Palanisamy

Selangor hari ini kembali di tempat teratas yang menyumbang kes tertinggi mengikut negeri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2021.

MALAYSIA hari ini melaporkan 2,192 kes jangkitan baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan di seluruh negara 285,761, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata selepas Perak mencatat kes tertinggi mengikut negeri semalam, Selangor hari ini kembali di tempat teratas yang menyumbang kes tertinggi mengikut negeri.

Beliau berkata Selangor menyumbang 910 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 303 kes dan Sarawak 221 kes.

Menurutnya Perak yang mencatat kes tertinggi semalam hari ini merekodkan 148 kes.

Noor Hisham berkata hanya Labuan yang melaporkan sifar kes hari ini.

Katanya daripada kes baharu hari ini, 2,189 merupakan penularan tempatan manakala tiga adalah kes import.

Sementara itu katanya, negara merekodkan 3,414 kes pulih hari ini.

Memandangkan jumlah kes pulih melebihi kes jangkitan baharu hari ini, kes aktif dilaporkan menurun kepada 32,076.

Dr Noor Hisham berkata 199 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) yang mana 91 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Enam kematian turut dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian 1,062.  – 22 Februari, 2021.

MENYUSUL 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen