PKPD di kampung di Sabah, Sarawak, kata menteri


Katanya, kampung yang terjejas itu adalah Kampung Emperoh Kambu di Padawan, Sarawak dan Kampung Tanah Merah di Kota Marudu, Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2021.

DUA kampung masing-masing di Sabah dan Sarawak akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam ini selepas didapati kes Covid-19 naik mendadak, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan itu berkata PKPD di dua kampung itu akan tamat pada 8 Mac.

Katanya, kampung yang terjejas itu adalah Kampung Emperoh Kambu di Padawan, Sarawak dan Kampung Tanah Merah di Kota Marudu, Sabah.

Katanya, setakat hari ini, sebanyak 60 kes positif telah dikesan di Kampung Emperoh, manakala 57 kes positif di Kampung Tanah Merah.

Hasil penilaian kementerian kesihatan mendapati Kampung Emperoh mempunyai kadar jangkitan tinggi oleh itu perlunya PKPD bagi melakukan pemeriksaan Covid-19 untuk 1,215 penduduk.

Lebih 226 penduduk di Kampung Tanah Merah telah disaring dan pihak kesihatan akan membuat ujian terhadap 545 orang lagi apabila PKPD bermula esok.

Setelah tujuh hari berturut-turut Malaysia mencatatkan kes dalam lingkungan 2,000, semalam negara melaporkan 3,297 jangkitan Covid-19 baharu.

Kini Malaysia mempunyai 4,456 pesakit yang telah keluar dari hospital setakat jam 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 249,209.

Ini menjadikan jumlah kes aktif di negara ini 33,304, dengan 209 dimasukkan ke unit rawatan rapi dan 91 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 22 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen