AIR New Zealand akan mengadakan percubaan pas perjalanan digital buat penerbangan dan pihak berkuasa sempadan agar boleh mengakses maklumat kesihatan penumpang, termasuk status vaksinasi Covid-19, kata syarikat penerbangan itu.
Skema itu yang digelar sebagai “pasport vaksinasi” oleh pemerhati industri adalah untuk memperkemas perjalanan setelah sempadan dibuka kembali dengan membenarkan penumpang menyimpan bukti kesihatan mereka di satu tempat.
“Ini pada dasarnya seperti memiliki sijil kesihatan digital yang dapat dikongsi dengan mudah dan selamat dengan syarikat penerbangan,” kata ketua pegawai digital Air New Zealand, Jennifer Sepull.
Ia bergantung pada aplikasi yang dikembangkan oleh International Air Transport Association (AITA) dan syarikat penerbangan lain termasuk Etihad dan Emirates yang telah mendaftar untuk percubaan mereka sendiri.
Naib presiden kanan industri, Nick Careen berkata ia merupakan tonggak penting dalam memulakan perjalanan antarabangsa ketika pelancaran vaksin global sedang dijalankan.
“Kerajaan boleh yakin bahawa penumpang yang ‘OK untuk melakukan perjalanan’ sepenuhnya memenuhi syarat perjalanan Covid-19,” katanya.
Careen berkata aplikasi itu memastikan privasi dengan memberi pengguna kawalan data kesihatan yang mereka berikan.
Percubaan Air New Zealand akan bermula pada April. – AFP, 22 Februari, 2021.
Komen