PKR hari ini menafikan dakwaan Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Keruak iaitu Perdana Menteri Najib Razak lebih banyak membenarkan kebebasan bersuara berbanding Dr Mahathir Mohamad.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata ranking kebebasan akhbar Malaysia juga merosot ketika pemerintahan Najib.
Malaysia berada di kedudukan 144 daripada 180 buah negara dalam Indeks Kebebasan Media Sedunia (World Press Freedom Index) terbitan Reporters Sans Frontier (RSF). Tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan 146, berbanding 104 dari 166 buah negara pada 2003 dan 122 dari 167 buah negara pada 2004.
Najib menggalas jawatan perdana menteri selepas Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan. Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan pada 2003.
Fahmi berkata beberapa saluran media termasuk The Edge, Sarawak Report, The Malaysian Insider dan Asia Sentinel disekat atau diharamkan sejak Najib menjadi perdana menteri.
“Kebanyakan media ini ditekan kerana membuat laporan tentang penyelewengan wang dari 1MDB,” katanya.
Beliau berkata semenjak Salleh dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, beberapa inidvidu termasuk artis grafik Fahmi Reza dan kartunis Zunar, ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah kerana memberi komen atau mengkritik Najib di media sosial.
“Jelas, bila dibanding dulu dan sekarang, kebebasan bersuara rakyat Malaysia semakin parah kerana dihalang dari mengkritik pemimpin seperti bos DS Salleh,” katanya.
Fahmi menggesa Salleh agar berhenti mengeluarkan kenyataan untuk mengampu Najib dan berusaha gigih memperbaiki serta mengukuhkan kebebasan bersuara dan media di Malaysia demi rakyat.
“Kenyataan DS Salleh ini sebenarnya langsung tidak bersandarkan fakta atau rujukan. Ia adalah kenyataan terdesak memandangkan Pakatan Harapan semakin kukuh dan bersiap sedia menghadapi PRU-14.
“Dengan kata lain, ini hanyalah retorik politik untuk menonjolkan kesetiaan DS Salleh terhadap bos beliau menjelang PRU-14.”
Dalam blognya semalam, Salleh berkata Najib membenarkan Dr Mahathir memfitnah dan menghina beliau tanpa mengenakan sebarang tindakan terhadap bekas perdana menteri itu.
“Najib membenarkan Mahathir terus memfitnahnya, dan setiap hari Mahathir terus menghina Najib…Mahathir tidak akan bertolak ansur 10 peratus daripada apa yang dilakukannya terhadap Najib,” katanya, mengulas janji Dr Mahathir semasa mesyuarat agung tahunan pertama Bersatu, yang mana beliau adalah pengerusinya, di Shah Alam, Selangor semalam. – 31 Disember, 2017.
Komen