ENAM kluster baharu dikenal pasti dengan kesemuanya melibatkan tempat kerja, menjadikan jumlah kluster aktif kini 510, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Lima daripada kluster baharu dilaporkan di Johor iaitu Jalan Persiaran Cemerlang, Jalan Cemerlang Besi, Jalan Kota Kulai, Jalan Kelapa Mawar dan Jalan Pandan Ria manakala Perusahaan Baru dilaporkan di Pulau Pinang.
Secara keseluruhannya, negara merekodkan 1,074 kluster sejak wabak itu melanda negara ini pada awal tahun lalu.
Sebanyak 82 kluster yang mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini dengan kes baharu tertinggi ialah Kluster Jalan Changkat Jong (1,046 kes), Kluster Industri Selesa (171), dan Kluster Tanjung Suria (97).
Dr Noor Hisham berkata Kluster Jalan Changkat Jong yang melibatkan kluster tempat kerja di Perak Hilir dan Perak Tengah, menjadi punca peningkatan kes mendadak di Perak hari ini.
Perak mencatatkan 1,215 kes, sekali gus mengatasi Selangor yang selama 24 hari mencatatkan kes harian paling tinggi.
Sementara itu, enam kluster dilaporkan tamat hari ini iaitu Kluster Mikro, Kluster Tasik Utama, Kluster Titian, Kluster Tapak Bina Jalan Wangsa, Kluster Kota Road, dan Kluster Tanjung Lumpur, menjadikan jumlah kluster tamat kini 564. – 21 Februari, 2021.
Komen