MALAYSIA kembali mencatatkan angka kes baharu Covid-19 melepasi jumlah 3,000 selepas tujuh hari berturut-turut merekodkan sekitar 2,000 kes sehari.
Kali terakhir Malaysia melaporkan kes lebih 3,000 pada 13 Februari lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 3,297 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas dengan Perak mengatasi negeri lain bagi jumlah kes paling tinggi.
Katanya sebanyak 1,215 kes dilaporkan di Perak disusuli Selangor dengan 868 kes dan Johor 431 kes.
Sebelum ini, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi selama 24 hari berturut-turut.
Dr Noor Hisham berkata daripada keseluruhan kes baharu hari ini, enam merupakan kes import dan selebihnya penularan tempatan.
“Daripada 3,291 kes penularan tempatan, 1,402 melibatkan rakyat Malaysia dan 1,889 merupakan warga asing.
“Bagi kes import, lima daripadanya merupakan rakyat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keseluruhan kes jangkitan kini berjumlah 283,569.
Bagi kes pulih, sebanyak 4,456 pesakit dibenarkan keluar hospital, menjadikan keseluruhan kes pulih meningkat kepada 249,209.
Jumlah kes aktif kini sebanyak 33,304 dengan 209 daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 91 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.
Bagi kes kematian, lima korban dicatatkan hari ini, menjadikan keseluruhan kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 1,056.
Dua kematian masing-masing dilaporkan di Selangor dan Terengganu manakala satu lagi kematian di Kuala Lumpur.
Mangsa yang terlibat merupakan empat rakyat Malaysia dan seorang warga asing.
Kesemua mangsa pernah mempunyai rekod kesihatan termasuk tekanan darah tinggi.– 21 Februari, 2021.

Komen