Kerajaan sedia bayar ganti rugi jika ada kesan sampingan vaksin, kata menteri


Fasa pertama 312,390 dos vaksin tiba menerusi penerbangan karga MAS MH604 pada pukul 10.07 pagi ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. – Gambar Facebook KKM, 21 Februari, 2021.

KERAJAAN menyediakan skim pampasan kepada rakyat yang mengalami kesan sampingan selepas mendapat suntikan vaksin Covid-19, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata kerajaan sudah membuat keputusan itu pada mesyuarat Kabinet pada minggu lalu.

“Kabinet sudah membuat keputusan untuk menyediakan skim kepada mereka yang mengalami kesan sampingan.

“Ini melibatkan bayaran ganti rugi kepada mereka yang mengalami kesan serius daripada vaksin itu.

“Kita akan membuat pengumuman tidak lama lagi,” katanya.

Fasa pertama 312,390 dos vaksin tiba menerusi penerbangan karga MAS MH604 pada pukul 10.07 pagi ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Selain Khairy, Menteri Kesihatan Adham Baba dan Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong turut hadir ke lapangan terbang itu.

Kerajaan akan memulakan pelan imunisasi Covid-19 pada Rabu, dua hari lebih awal daripada perancangan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi rakyat Malaysia pertama menerima vaksin Pfizer-BioNTech

Semua vaksin akan diedarkan di 16 pusat simpanan di seluruh negara.

Fasa pertama akan berlangsung sehingga April dengan menumpukan pemberian kepada anggota perubatan.

Fasa kedua pula akan bermula dari April hingga Ogos melibatkan kumpulan berisiko tinggi termasuk mereka yang berusia 60 tahun ke atas, mereka yang menghidap penyakit berbahaya dan orang kurang upaya.

Fasa ketiga yang bermula Mei hingga Ogos tahun depan melibatkan rakyat berusia 18 tahun ke atas. – 21 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen