Vaksinasi Covid-19 bermula Rabu, kata Khairy  


Alfian Z.M. Tahir

Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech tiba di KLIA pagi ini dihantar ke 16 pusat simpanan di seluruh negara. – Gambar Mosti, 21 Februari, 2021.

PUTRAJAYA akan memulakan program vaksinasi Covid-19 pada Rabu, dua hari lebih awal daripada yang dirancang, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech Rabu ini.

Khairy berkata keputusan untuk mempercepatkan vaksinasi kepada Rabu dibuat hari ini selepas perbincangan dengan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba. 

Menurutnya semua persediaan untuk memulakan vaksinasi seluruh negara sudah sedia dan keputusan dibuat untuk memulakan dua hari lebih awal. 

“Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan akan menerima suntikan vaksin pertama. Kemudian petugas barisan hadapan. Mereka perlu divaksin sebelum memvaksin orang lain,” kata Khairy.

Beliau berkata perdana menteri akan menerima suntikan vaksin pertama di Klinik Kesihatan Putrajaya selepas mesyuarat kabinet pada Rabu. 

Kumpulan pertama vaksin Covid-19 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini. 

Pesawat MH604 dengan hiasan livery Jalur Gemilang membawa 312,390 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech mendarat pada pukul 10.07 pagi.

Penghantaran itu dikendalikan MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) iaitu cabang kargo syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd, penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu menggunakan pesawat Airbus 330-300.

Antara yang hadir menyaksikan ketibaan vaksin tersebut adalah Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong.

Khairy berkata vaksin berkenaan akan dihantar ke 16 lokasi pusat simpanan di seluurh negara. 

“Pusat berkenaan adalah di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya. 

“Atas faktor keselamatan, saya tidak boleh dedahan lokasi pusat simpanan berkenaan,” katanya.

Fasa pertama program berkenaan dibuat sehingga April dan melibatkan petugas barisan hadapan. 

Pada fasa kedua program dari April hingga Ogos melibatkan kumpulan berisiko tinggi antaranya warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan yang mempunyai masalah kesihatan dan golongan OKU akan divaksin. 

Fasa ketiga yang bermula dari Mei hingga Februari tahun depan adalah untuk mereka berusia 18 tahun ke atas. – 21 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen