KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan untuk membolehkan guru menjadi antara kumpulan terawal yang menerima suntikan vaksin Covid-19.
Menterinya Khairy Jamaluddin pagi ini berkata bahawa perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet minggu depan.
“Kita menerima banyak permintaan dari pelbagai kumpulan dan guru-guru antara yang paling wajar kerana sekolah akan dibuka tidak lama lagi.
“Kita akan membincangkan hal ini di kabinet, mungkin keutamaan akan diberikan kepada guru dengan keadaan kesihatan tertentu,” kata Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19.
Sesi persekolahan akan disambung semula pada Mac untuk murid sekolah rendah dan pada April untuk pelajar sekolah menengah.
Pagi ini kumpulan pertama vaksin Covid-19 tiba menerusi penerbangan khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.
Penerbangan MH604 dengan warna Jalur Gemilang mendarat pada jam 10.07 pagi bersama 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech.
Penghantaran dibuat menaiki Airbus 330-300 yang dikendalikan oleh MAB Kargo Sdn Bhd, cabang kargo syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Khairy dan Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong berada di lapangan terbang untuk menerima penghantaran vaksin berkenaan.
Khairy berkata vaksinasi akan bermula pada Rabu dengan suntikan pertama diberikan kepada perdana menteri dan ketua pengarah kesihatan.
Suntikan seterusnya akan diberi kepada petugas kesihatan barisan hadapan diikuti oleh polis, pasukan tentera serta anggota Bomba dan Penyelamat.
Sementara itu Khairy memberitahu sidang media bahawa penerima akan mendapat dua dos vaksin Pfizer-BioNTech sepenuhnya walaupun dicadangkan bahawa satu sudah cukup untuk melindungi dari jangkitan.
“Kita belum melakukan penyelidikan untuk mengesahkan satu dos sudah mencukupi. Kami akan mematuhi polisi dua dos,” katanya. – 21 Februari, 2021.
Komen