Kemudahan swasta tak diberi kebenaran suntik vaksin Covid-19, kata Khairy


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata petugas barisan hadapan yang akan menjadi kumpulan pertama perima vaksin telah diberitahu mengenai temujanji vaksinasi mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2021.

PIHAK swasta tidak diberi kebenaran oleh kerajaan untuk memberikan vaksin Covid-19, kata Khairy Jamaluddin hari ini.

Menurutnya petugas barisan hadapan yang akan menjadi kumpulan pertama perima vaksin juga telah diberitahu mengenai temujanji vaksinasi mereka.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu menulis di Twitter hari ini sebagai maklum balas terhadap pertanyaan pengguna lain yang meminta rancangan vaksinasi dan mendakwa melihat banyak hospital swasta membuka tempahan awal untuk pelanggan mendapatkan vaksin Covid-19 sementara petugas barisan hadapan masih samar-samar mengenainya.

“Petugas barisan hadapan sudah diberitahu tentang temujanji vaksinasi mereka. @JKJAVMY belum bersetuju untuk mana-mana penyedia/pasaran swasta untuk vaksin Covid,” tulis Khairy merujuk kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 di Twitter hari ini.

Beliau turut memuat naik pautan ke rancangan vaksinasi dalam ciapan di Twitter berkenaan.

Malaysia bakal menerima  lebih 300,000 dos vaksin Pfizer-BioNTech pagi ini.

Khairy, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah akan menerima penghantaran dos vaksin berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ketibaan vaksin akan memulakan kempen vaksinasi terbesar di negara ini.

Sebanyak 600 stesen vaksinasi dibina di klinik dan hospital di seluruh negara.

Imunisasi akan dijalankan dalam tiga fasa. Fasa pertama dari 26 Februari sehingga April akan menyaksikan pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan KKM, polis dan angkatan tentera.

Warga emas, mereka yang berisiko tinggi dan orang kurang upaya akan menerima vaksin pada fasa kedua pada April sehingga Ogos.

Fasa ketiga dari Mei hingga Februari 2022 akan dibuka untuk semua yang berusia 18 tahun ke atas.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menjadi penerima pertama vaksin berkenaan.

Sebagai tambahan, petugas kesihatan professional, doktor bersara, pelajar perubatan dan pergigian serta jururawat pelatih akan membantu usaha imunisasi. Kakitangan perubatan di sektor swasta dan NGO juga akan membantu. – 21 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen