JIKA pilihan raya negeri Sarawak diadakan esok - atau dalam masa terdekat- , calon kawasan Pending, Kuching tidak akan mendapat undi daripada Josh John.
Beliau yang berkerusi roda kerana lumpuh, memutuskan tidak akan keluar mengundi ketika jumlah kes pandemik masih tinggi.
Bagaimanapun, bukanlah ketakutan dijangkiti Covid-19 menganggu fikiranya ketika menggunakan hak demokratiknya.
Bekas akauntan yang kini menjadi pekerja sosial itu berkata dengan pandemik yang masih teruk, SOP kesihatan dan keselamatan yang akan digunakan untuk mengekang penyebaran jangkitan boleh menjadi sesuatu yang tidak selesa bagi individu mengalami masalah fizikal sepertinya.
“Barisan panjang dan menunggu lama sebelum sampai giliran membuang undi sudah pasti.
“Kesulitan seperti itu tidak berbaloi untuk dilalui,” katanya.
Bagaimanapun, John adalah kes terpencil bagi sentimen umum dalam tinjauan rawak yang dijalankan di kalangan pengundi di Sarawak oleh Malaysian Insight.
Apa yang mungkin menjadi tren jika Ketua Menteri Abang Johari Openg mengadakan pilihan raya awal, sentimen umum di kalangan pengundi bandar dan juga pengundi luar bandar - adalah mereka akan keluar membuang undi walaupun sedar bakal menghabiskan berjam-jam lamanya di tempat mengundi.
Dan hampir semua berkata tidak akan menghadiri perhimpunan politik sepanjang tempoh kempen.
Mandat kerajaan negeri akan berakhir pada Jun dan dengan vaksinasi Covid-19 secara besar-besaran bermula dalam tempoh seminggu lagi, spekulasi mengenai pilihan raya awal kembali kedengaran.
Walaupun keadaan darurat berlanjutan hingga Ogos akan memberi pilihan kepada kerajaan negeri untuk mengadakan pilihan raya pada tarikh lebih lewat, cakap-cakap mengenai pilihan raya sebaik sahaja pandemik Covid-19 terkawal terus berlegar.
Memandangkan beliau memutuskan untuk tidak mengundi, maka menghadiri perjumpaan politik juga tidak perlu bagi John.
“Walaupun saya ingin tahu apa yang mereka katakan, mengapa saya perlu mendedahkan diri dengan risiko tinggi untuk dijangkiti?
“Kesihatan saya lebih penting,” katanya sambil menegaskan beliau mengambil pengajaran daripada pilihan raya negeri Sabah tahun lalu.
Dengan pandangan lebih sinis, John berkata apatah lagi apabila calon terpilih, “mereka akan terus melupakan pengundi mereka”.
Mark Kwan, pengundi di daerah pinggiran bandar Tarat dekat Serian berkata beliau akan keluar mengundi kerana menganggap pilihan raya itu penting dan sebagai rakyat, “kita harus mengundi”.
“Walaupun saya tidak menganggap ini masa yang tepat untuk mengadakan pilihan raya, kita perlu menjadi rakyat yang baik.”
Beliau bagaimanapun, berkongsi sentimen John mengenai mengelak daripada menghadiri perjumpaan politik.
“Sudah pasti tidak. Saya yakin akan ada cara lain untuk mendapatkan maklumat sepanjang tempoh kempen.”
Pengundi di luar bandar juga nampaknya berkongsi sentimen yang mengundi adalah “tugas patriotik” yang mesti ditegakkan, sama ada ketika Covid-19 atau tidak.
Indu Thomas, yang mengundi di kawasan pilihan raya Krian di Saratok dan Augustine Liong, yang mengundi di Batang Ai, Lubok Antu - 200km dari Kuching - keduanya berkata tiada yang akan menghalang mereka daripada keluar mengundi.
“Hak saya (untuk melakukannya) dan saya berharap ada SOP yang ketat untuk memastikan kita semua selamat,” kata Thomas.
Beliau berkata walaupun tidak akan menghadiri perjumpaan politik demi “keselamatan” rumah panjangnya kerana takut dijangkiti, ketakutan yang sama dibuang ketika ingin membuang undi demi “menggunakan haknya sebagai warganegara yang baik ”.
“Saya tidak akan menghadiri ceramah kerana takut mendapat jangkitan tetapi saya tidak takut beratur untuk membuang undi.
“Bagaimanapun, tiada keperluan menghadiri ceramah kerana pada dasarnya saya sudah tahu apa yang akan mereka cakapkan.”
Liong pula mempunyai alasan yang berbeza untuk keluar mengundi.
Beliau berkata kemarahannya kerana mengadakan pilihan raya semasa pandemik lebih membara berbanding rasa takutnya terhadap Covid-19.
“Saya akan pergi dan tidak mengundi kerajaan kerajaan dan jika ada ceramah. Mereka tahu ada wabak. Mengapa adakan pilihan raya?
“Jika kerajaan tetap menjalankan pilihan raya ketika pandemik, mereka bodoh dan merancang untuk membunuh kami.” – 21 Februari, 2021.
Komen