KKM kesan 10 kluster baharu Covid-19


Sebanyak 11 lagi kluster diisytiharkan tamat hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster tamat di negara ini kini 558. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2021.

SEBANYAK 10 kluster baharu dikenal pasti hari ini dengan kesemuanya adalah kluster di tempat kerja menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 510 kluster, kata Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kluster baharu, empat dikesan di Johor iaitu Kluster Jalan Tanjung Enam; Jalan Wawasan 14, Batu Dua Setengah dan Jalan Lapangan Terbang, manakala dua di Selangor iaitu Kluster  Perdana Tiga dan Jalan Perusahaan Satu.

Dua kluster di Perak pula ialah Kluster Batu Sebelas dan Jalan Pelabuhan sementara masing-masing satu kluster di Sabah iaitu Kluster Jalan Pasar dan Negeri Sembilan pula Kluster Tapak Bina Kasia.

Sementara itu, sebanyak 11 lagi kluster diisytiharkan tamat hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster tamat di negara ini kini 558.

Menerusi hantaran di Twitter, Dr Noor Hisham menjelaskan lonjakan jumlah kes baharu di Kelantan adalah disebabkan banduan dari Penjara Dungun, Terengganu yang baru tamat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dipindahkan ke Penjara Pengkalan Chepa. – Bernama, 20 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen