KPM tidak wajar buka semula sesi sekolah, kata Pakatan


Ravin Palanisamy

Jawatankuasa Pendidikan PH terkejut dengan keputusan KPM membuka semula sekolah bermula bulan depan ketika angka kes Covid-19 masih tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2021.

SEKOLAH perlu dibenarkan untuk membuat keputusan bagi menyambung pembelajaran secara fizikal berbanding mengikut keputusan Kementerian Pendidikan yang membenarkan sesi persekolahan dibuka secara serentak, kata Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH).

Jawatankuasa itu berkata saranan ini dibuat memandangkan kes jangkitan Covid-19 masih tinggi di negara ini.

Jawatankuasa itu yang dianggotai bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik dan timbalannya, Teo Nie Ching berkata mereka terkejut dengan keputusan KPM membuka semula sekolah bermula bulan depan ketika angka kes Covid-19 masih tinggi.

“Kita menggesa KPM agar lebih berhati-hati kerana ramai ibu bapa dan guru bimbang untuk kembali ke sekolah semasa pandemik dengan kadar kadar jangkitan masih belum turun dan ada kawasan masih zon merah,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Dua lagi ahli Parlimen PH yang menandantangani kenyataan itu adalah Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Tampin Dr Hasan Baharom.

Walaupun kadar jangkitan harian Covid-19 mulai menurun secara perlahan tetapi angkanya masih tinggi melebihi 2,000 kes sehari sepanjang minggu lepas.

Semalam Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan bahawa sekolah rendah akan dibuka semula pada 1 Mac manakala sekolah menengah akan bermula pada 4 April.

Beliau berkata kelas Darjah 1 dan 2 akan bermula pada 1 Mac manakala kelas Darjah 3 hingga 6 akan bermula pada 8 Mac. Tarikh yang sama terpakai untuk sekolah rendah swasta.

Sekolah menengah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan bermula pada 1 April manakala negeri lain akan bermula pada 5 April.

Radzi berkata kolej vokasional akan dibuka semula pada 1 Mac manakala sekolah antarabangsa bermula pada 8 Mac.

Bagi sekolah swasta, sesi persekolahan akan bermula 1 Mac dan sekolah menengah bermula 4 dan 5 April.

Jawatankuasa Pendidikan PH berkata KPM perlu memberi kuasa autonomi untuk sekolah membuka semula sekolah masing-masing.

“Pihak pengurusan sekolah yang melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengarah (jika ada), boleh bersama-sama membuat keputusan untuk membuka semula sekolah berdasarkan situasi pandemik di kawasan masing-masing.

“KPM tidak seharusnya membuat keputusan tanpa memikirkan perkembangan pandemik di negara ini.

Mereka berkata para guru dan staf sekolah juga perlu diberi keutamaan dalam program vaksin kerana mereka adalah anggota barisan depan.

Jawatankuasa itu mencadangkan agar guru dibenarkan untuk menumpukan sesi pengajaran berbanding tugas pentadbiran buat masa ini.

“Kerajaan perlu mempunyai pelan komprehensif untuk semua senario supaya ibu bapa, pelajar, guru dan semua yang terkesan boleh membuat persediaan awal,” kata mereka. – 20 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen