Alkohol tak boleh dijual di bawah SOP PKP, kata ketua polis KL


Alfian Z.M. Tahir

Di bawah PKP, SOP menyatakan pub dan kelab malam termasuk yang mempunyai restoran ditutup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2021.

PENJUALAN alkohol dari kaunter bar tidak dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerana hanya restoran sahaja dibenarkan beroperasi, kata ketua polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin.

Beliau menjawab laporan berita mengenai pemilik bar dan restoran yang keliru setelah polis mengarahkan beberapa kedai di Jalan Telawi, Bangsar, untuk menghentikan penjualan alkohol kepada pelanggan semalam.

“Premis yang mempunyai lesen restoran dan bar tidak boleh membuka kaunter bar mereka. Hanya restoran yang dibenarkan beroperasi,” kata Saiful Azly.

Beliau berkata polis mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Di bawah PKP, SOP menyatakan pub dan kelab malam termasuk yang mempunyai restoran ditutup. Hanya restoran sahaja yang boleh beroperasi.

The Vibes yang melaporkan kekeliruan pemilik bar dan restoran berkata polis telah memerintahkan pemilik dan pengusaha berhenti menjual alkohol secara khusus.

“Polis beritahu kami untuk berhenti hidang alkohol kerana ia adalah perintah oleh MKN.

“Jadi, polis datang jelaskan kawasan di bawah PKP tidak boleh hidang alkohol, tetapi jika anda berada di bawah PKPB (PKP Bersyarat), anda boleh,” kata Omar Osman pengurus bar restoran W1 kepada The Vibes.

Joshua Billique dari Bangsar Bar and Restaurants Owners (BRO) berkata, SOP tidak melarang restoran menghidangkan alkohol.

“Menurut apa yang saya dengar, ini adalah arahan oleh pegawai yang bertugas di polis daerah Brickfields (Brickfields OCPD).

“Ini adalah perubahan peraturan yang mengejut tanpa pengumuman yang betul,” kata Joshua kepada portal itu. – 20 Februari, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen