Vaksinasi Covid-19 langkah awal melawan wabak buat New Zealand


Walaupun adanya program vaksin, kerajaan New Zeland berkata tidak mungkin pelancong luar negara diizinkan untuk kembali tahun ini. – Gambar AFP, 20 Februari, 2021.

NEW ZEALAND melancarkan program vaksinasi Covid-19 hari ini dan dalam masa sama mengingatan rakyatnya program itu hanyalah langkah kecil dalam perjuangan melawan pandemik.

Negara Pasifik itu dipuji masyarakat dunia kerana menangani Covid-19 dengan hanya 26 kematian dalam populasi berjumlah lima juta.

Vaksinasi bermula hanya beberapa hari selepas pihak berkuasa menarik perintah berkurung di Auckland setelah tiga hari penduduk bandar itu terperap di rumah.

“Ini permulaan dari apa yang kita sebut babak baru, tetapi kita masih dalam jalan yang panjang,” kata Ashley Bloomfield, ketua pengarah kesihatan negara itu.

Program itu menandakan “langkah kecil tetapi penting dalam perjalanan panjang”, tambahnya, dengan fokus awal pada warga berisiko tinggi dan mereka yang pulang dari luar negara, selain dengan pekerja di sempadan.

Jiran Australia itu akan memulakan vaksinasi Pfizer-BioNTech yang serupa kepada pekerja barisan hadapan pada Isnin.

Kedua-dua negara telah menutup sempadan bagi hampir semua pelancong antarabangsa, sehingga menjejaskan industri pelancongan yang merupakan tonggak utama ekonomi.

Walaupun dengan program vaksin, kerajaan negara itu berkata tidak mungkin pelancong luar negara diizinkan untuk kembali tahun ini. – AFP, 20 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen