Sekolah swasta mohon kuasa autonomi


Sekolah swasta berharap bimbang dengan lanjutan penutupan sekolah disebabkan Covid-19 yang sekaligus menjejaskan kelestarian dan kelangsungannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2021.

GABUNGAN Sekolah-Sekolah Swasta dan Antarbangsa Malaysia memohon kepada kerajaan untuk memberikan kuasa autonomi kepada Lembaga Pengelola Sekolah dalam membuat keputusan mengenai pengoperasian sekolah masing-masing ketika pandemik.

Sekretariat Gabungan Sekolah-Sekolah Swasta dan Antarabangsa Malaysia Mohd Fadzil Hashim berkata permohonan untuk kuasa autonomi itu diharapkan dapat diberikan kepada sekolah swasta, sekolah antarabangsa, sekolah pondok dan sekolah tahfiz yang mempunyai keupayaan dari segi fizikal serta prasarana.

“Tambahan pula bilangan nisbah pelajar dengan guru kami lebih kecil jika dibanding dengan sekolah awam. Jadi kami mempunyai keupayaan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media di Cyberjaya hari ini. 

Turut hadir Koordinator Gabungan Sekolah-Sekolah Swasta dan Antarabangsa Malaysia Zaliza Alias dan Pengarah Eksekutif Pendidikan Ikram Musleh, Megat Mohamed Amin.

Beliau berkata pihaknya juga akan patuh kepada semua arahan Kementerian Kesihatan jika diarahkan untuk menutup pengoperasian sekolah.

“Kami hanya minta kuasa autonomi ini ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat, jika kawasan itu dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD), kita faham secara automatik sekolah akan ditutup.

“Kami mohon Majlis Keselamatan Negara untuk menasihati Kementerian Pendidikan untuk memberi kuasa autonomi kepada sekolah swasta yang mempunyai fasiliti dan kemudahan yang cukup serta boleh mematuhi SOP sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, Zaliza berkata sekiranya penutupan sekolah berpanjangan, ia akan menimbulkan kerisauan jika pelajar mula hilang minat untuk belajar.

“Jika seseorang pelajar ini lambat belajar, tidak mengapa namun yang menjadi kerisauan ialah mereka ini mula hilang minat untuk belajar. 

“Selain itu, ibu bapa juga risau anak-anak mereka tidak dapat mengejar sesi pembelajaran secara proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya. 

Beliau berkata kelestarian dan kelangsungan sekolah swasta juga terancam kerana ada ibu bapa yang tidak membayar yuran pengajian kerana murid tidak bersekolah. – Bernama, 19 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen