PAKAR kesihatan mental sekali lagi menggesa supaya jenayah cubaan bunuh diri dikeluarkan dari Seksyen 309 Kanun Keseksaan.
Pada perbincangan laporan bertajuk “Youth Suicide in Malaysia” oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Relate Mental Health Malaysia, Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) Dr Andrew Mohan Raj berkata peruntukan Seksyen 309 Kanun Keseksaan perlu dikaji semula.
Cubaan bunuh diri memerlukan satu perspektif berbeza, katanya.
“Memansuh (bahagian cubaan bunuh diri) sangat bagus, tetapi pendekatan kita mestilah berdasarkan konsensus. Jika tidak mansuh, pindanya.
“Sebahagian daripada strategi kami adalah memaklumkan kepada pemegang taruh bahawa ada peruntukan di bawah Akta Kesihatan Mental yang pendekatannya lebih berperikemanusiaan (bahawa) individu yang cuba membunuh diri (adalah) mangsa, bukan penjenayah. Dan mereka perlu diberi rawatan psikiatri,” katanya.
Sentimen sama juga disuarakan oleh Adun Subang Jaya Michelle Ng.
“Gerak balas polis dan bomba terhadap cubaan bunuh diri perlu diubah. Polis diberi kuasa bagi kemasukan ke hospital secara paksa di bawah Seksyen 10 Akta Kesihatan Mental.
“Polis terlalu bersimpati dan empatetik dan mahu jika ada cara lain,” kata Adun dari DAP itu.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Unit Kesihatan Mental, Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr Nurashikin Ibrahim pula berkata isu berkenaan dekriminalisasi cubaan bunuh diri telahpun dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
KKM katanya sedang menunggu maklum balas memandangkan kajian dan tinjauan masih berjalan.
“Buat masa ini, kumpulan kerja teknikal pencegahan bunuh diri akan mengambil tindakan susulan, tetapi tergendala kerana Covid-19.”
Pada 2019, kerajaan Pakatan Harapan juga bercadang untuk meminda undang-undang berkaitan cubaan bunuh diri bagi menangani peningkatan kes dalam negara. – 19 Februari, 2021.
Komen