PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) hari ini selepas mendapat rawatan kerana keletihan.
Hadi dalam catatan Facebook berkata beliau dibenarkan pulang setelah menerima rawatan sejak Isnin.
“Saya amat berterima kasih dan terhutang budi kepada para doktor dan petugas di Unit Kecemasan Hospital Putrajaya dan IJN, atas kecekapan dan profesionalisma yang tinggi, juga kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan saya.,” katanya.
Pada Isnin, Hadi dikejarkan ke Hospital Putrajaya sebelum dipindahkan ke IJN selepas mengalami kesukaran bernafas.
Beliau berkata sepanjang tempoh rawatannya, beliau juga mengikuti perkembangan berita tempatan dan asing, terutama mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Hadi juga berkata beliau mengikuti Dasar Perpaduan Negara yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta pelbagai langkah yang diambil untuk membendung penyebaran virus dan pemulihan ekonomi.
“Semoga semuanya dapat dijayakan dengan dukungan bersama.” – 19 Februari, 2021.
Komen