PERATURAN penjarakan sosial 1 meter untuk pengunjung restoran tidak mencegah penularan koronavirus, kata perunding kesihatan, menekankan yang paling penting ialah sistem pengaliran udara di tempat tertutup.
“Penjarakan 1 meter tidak berkesan. Sainsnya tidak jelas. Ia bergantung kepada pengaliran udara bilik atau bangunan itu,” kata ketua paediatrik Hospital Raja Perempuan Bainin Ipoh, Perak Dr Amar-Singh di Twitter.
“Perlu ikut data dan melakukan pengubahsuaian yang perlu.”
Beliau mengulas pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam untuk melonggarkan peraturan untuk pelanggan makan di restoran dengan membenarkan dua orang duduk di satu meja dengan syarat penjarakan 1 meter antara mereka.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata restoran di semua kawasan termasuk yang dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP), dibenarkan menerima pelanggan mengikut kapasiti meja, dengan syarat pematuhan penjarakan fizikal 1 meter.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat mengikitiraf sistem pengaliran udara sebagai faktor utama dalam membendung penularan Covid-19. Aliran udara yang baik dapat membantu menyuraikan titisan bawaan udara yang dikeluarkan oleh individu yang ada jangkitan.
Ismail turut mengumumkan arahan dua penumpang dalam satu kereta ditarik balik.
Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur kekal di bawah PKP hingga 4 Mac sementara Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Putrajaya, Labuan dan Sabah dikenakan PKP Bersyarat (PKPB).
Putrajaya baru-baru ini menarik balik arahan had perjalanan 10km radius tetapi perjalanan rentas daerah dan negeri masih dilarang. – 19 Februari, 2021.
Komen