HAMPIR setahun sejak sekolah ditutup kerana perintah kawalan pergerakan Covid-19, dan ibu bapa daripada golongan berpendapatan rendah terus bergelut dengan kelas online anak, mendorong beberapa ahli Parlimen bertindak sendiri untuk membantu penduduk di kawasan masing-masing.
Cabaran besar untuk keluarga ini ialah akses internet dan kekurangan peralatan, dengan terpaksa berkongsi telefon pintar atau tablet, menyebabkan ramai pelajar keciciran dalam pelajaran mereka.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim yang melancarkan program Asal Cek Mau Pi Sekolah bulan alu, berkata daripada pelbagai perkhidmatan disediakan menerusi inisiatif itu, permohonan mendapatkan komputer riba yang paling popular.
Program itu menawarkan percetakan percuma kerja sekolah, kelas tuisyen online percuma, kad SIM untuk langganan data dan penggunaan komputer riba atau tablet secara percuma.
“Kami lancarkan program ini kerana laporan Kementerian Pendidikan tahun lalu menunjukkan 36.9% pelajar tidak mempunyai komputer, tablet, komputer riba atau telefon pintar yang diperlukan untuk kelas atas talian,” kata Sim.
Dalam tempoh sebulan pelancaran program itu, lebih 1,000 permohonan diterima.
“Ada yang cadangkan kami tutup permohonan, tetapi kami putuskan untuk terus menerima permohonan.
“Memang betul kami tidak dapat membantu setiap orang, kerana kami hanya kumpul sumbangan untuk 400 peralatan, tetapi kami masih akan cuba yang terbaik.”
Sebelum meluluskan permohonan, Sim menerusi pasukannya akan melakukan saringan terhadap calon, termasuk mengadakan lawatan ke rumah. Ini termasuk beberapa arahan tentang penjagaan dan penggunaan peralatan berkenaan yang bernilai antara RM600 dan RM1,000 setiap satu.

“Pasukan kami akan lawat ratusan rumah, dan hanya selepas perbincangan diadakan, peralatan itu akan diberikan kepada mereka.”
Sim berkata pendidikan awam pada masa ini dalam keadaan krisis, menjejaskan lebih tiga juta pelajar dan 400,000 guru di seluruh negara.
“Apa yang kami buat dengan program kecil ini tidak penting. Ramai murid menggunakan telefon bimbit ibu bapa untuk belajar.
“Bayangkan betapa sukarnya untuk belajar tiga hingga empat jam menerusi telefon bimbit yang skrinnya kecil.
“Kegagalan kerajaan menguruskan pandemik ini mencetuskan krisis pendidikan, tetapi ia mengabaikannya. Jika kita terus-menerus tidak bertindak, kita akan berdepan masalah pendidikan dalam tempoh 10 hingga 30 tahun akan datang.”
Kerajaan setakat ini berjanji untuk menyediakan perkakasan bagi membantu pelajar memerlukan, sebagai sebahagian daripada inisiatif Cerdik iaitu memberikan 150,000 komputer riba percuma kepada pelajar di 500 sekolah.
Bantuan itu diumumkan menerusi Belanjawan 2021. Komputer riba berkenaan ditaja oleh 13 syarikat berkaitan kerajaan.
Bagaimanapun, bulan lalu diumumkan komputer riba itu akan hanya dipinjamkan kepada pelajar.
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman mempersoalkan apa yang akan pelajar lakukan terhadap peralatan yang rosak, dan adakah keluarga miskin perlu menggantikan jika ia rosak.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi berkata banyak keluarga miskin mempunyai lebih seorang anak yang bersekolah menyebabkan sukar untuk berkongsi peralatan.
“Contohnya satu keluarga ada tiga anak bersekolah dan hanya ada satu telefon bimbit. Sukarnya untuk membuat pilihan anak mana yang dapat menggunakannya untuk menghadiri kelas online.”
Wong berkata pejabatnya menerima lebih 300 permohonan untuk mendapatkan komputer percuma, termasuk daripada penduduk di luar kawasannya.
“Malangnya, kami terpaksa mengutamakan keluarga miskin di Kluang terlebih dulu. Sedih bila kami tidak cukup mampu untuk bantu setiap orang.” – 19 Februari, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen