17 kluster baharu Covid-19, 14 berkait tempat kerja


Tiga kluster baharu membabitkan kumpulan berisiko tinggi, keagamaan dan komuniti, kata Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengenal pasti 17 kluster baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu, 14 daripadanya berkait dengan tempat kerja, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata, tiga lagi kluster membabitkan kumpulan berisiko tinggi, keagamaan dan komuniti.

Kesemua kluster baharu berkenaan dikesan di Selangor, Johor, Sabah, Penang, Perak, Kuala Lumpur dan Terengganu, menyumbang 696 kes baharu Covid-19.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu juga, sebanyak 94 kluster merekodkan peningkatan kes, kata Dr Noor Hisham.

Kluster Kebun Baru menyumbang jumlah kes terbanyak iaitu 188, diikuti Changkat Jong (158 kes) dan Selambau (155 kes).

Kluster tempat kerja kebanyakannya membabitkan pejabat, restoran dan kilang di mana saringan bersasar dijalankan.

Bagi kluster tidak berkait tempat kerja yang dilaporkan hari ini, setiap satu dilaporkan di Johor, Pahang dan Terengganu.

Kluster kumpulan berisiko tinggi, iaitu kluster Jalan Sri Putri, ia dikesan di daerah Kulai di Johor, membabitkan sebuah pusat jagaan. 

Kes indeks kluster ini dilaporkan positif hasil saringan individu bergejala pada 15 Februari. Seramai 30 individu telah disaring, di mana 22 orang dikesan positif Covid-19.

Kluster keagamaan, dipanggil kluster Jalan Telok Ira pula, dikesan di daerah Temerloh di Pahang, melibatkan sebuah pusat pengajian.

Kes indeks disahkan positif pada 16 Februari lalu hasil saringan kontak rapat. Seramai 263 individu disaring setakat semalam, dan 47 daripada mereka positif Covid-19.

Kluster Kampung Jawek yang dikesan di daerah Besut, Terengganu adalah kluster melibatkan komuniti.

Kes indeks kluster tersebut dikesan positif pada 14 Februari hasil saringan kontak rapat. Nama kluster merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks iaitu di Kampung Jawek di Jerteh, Besut. 

Seramai 146 individu telah disaring, dan sembilan daripada mereka disahkan positif Covid-19 dalam kluster ini. – 18 Februari, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen