AGENSI antirasuah mengesahkan menahan timbalan pengerusi sebuah parti politik, yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri, untuk disiasat berhubung dakwaan menerima rasuah berkaitan perolehan projek di sebuah kementerian.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan tidak menamakan individu berkenaan, namun pengesahan itu menyusul laporan media mengenai penahanan MA Thinagaran, yang dilaporkan sebagai bekas pembantu kepada naib presiden PKR Dr Xavier Jayakumar.
Xavier adalah bekas menteri air, tanah dan sumber asli dalam pentadbiran Pakatan Harapan antara Mei 2018 hingga Februari 2020.
Dalam satu kenyataan awal hari ini, Xavier menafikan Thinagaran adalah pegawainya, sebaliknya berkata individu itu “kenalan rapat keluarga.”
“Dalam laporan media baru-baru ini, nama saya dikaitkan, dan ini menimbulkan prasangka terhadap saya sebagai wakil rakyat.
“Bertindak atas nasihat keluarga dan rakan, saya tampil untuk membersihkan nama saya dengan pihak berkuasa,” kata Xavier.
Xavier dalam pada itu turut menyebut pemimpin yang terlibat dengan rasuah mesti bertanggungjawab namun pada masa sama membayangkan kes yang disiasat melibatkan keputusan Jemaah Menteri.
“Pemimpin yang dikaitkan dengan rasuah harus dipertanggungjawabkan untuk memelihara integriti institusi dan kita bertanggungjawab untuk mempamerkan tadbir urus yang baik.
“Keputusan penting yang dibuat oleh kementerian mesti diluluskan secara kolektif dalam kabinet,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Thinagaran ditahan SPRM selepas hadir untuk memberi keterangan di pejabat agensi itu di Ipoh pada pagi semalam.
Menurut SPRM, operasi mereka semalam turut menahan dua pengarah syarikat di sekitar Ipoh.
“SPRM telah merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM1.2 juta yang dipercayai wang rasuah disimpan di rumah dan pejabat proksi kepada bekas menteri dan Timbalan Pengerusi tersebut,” kata kenyataan agensi itu.
SPRM juga merampas sebuah kereta mewah yang digunakan oleh bekas menteri tersebut sebagai kenderaan rasmi, yang dipercayai milik seorang pengarah syarikat yang diluluskan projek berkenaan.
Beberapa akaun syarikat dan individu berjumlah RM77 juta juga telah dibekukan untuk tujuan siasatan, tambah SPRM.
“Ketika ini, siasatan masih lagi berjalan dan SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan ini,” kata agensi itu.
Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam satu kenyataan semalam berharap siasatan telus tanpa sebarang campur tangan. – 17 Februari, 2021.
Komen