MALAYSIA sedang menuju menjadi sebuah negara gagal kerana budaya rasuah diamalkan dalam politik, kata Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata budaya itu sangat teruk sehinggakan kerajaan boleh dibentuk dengan perbuatan rasuah dan bekas perdana menteri Najib Razak yang terkait dengan skandal rasuah.
“Kita nak jadi sebuah negara gagal kerana saya dapati rasuah terutamanya merebak sehingga tahap yang mana kerajaan boleh didirikan melalui rasuah.
“Pegawai atau anggota kerajaan boleh dibeli dengan sekian banyak duit. Kita akan lihat negara kita diperintah oleh perasuah yang jadi pemerintah kerana dibeli orang tertentu
“Ataupun kerana mereka membeli tempat untuk diri mereka… ini yang merosakkan negara,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian petang tadi.
Wawancara itu dikendalikan oleh tokoh wartawan Johan Jaaffar dan disiarkan secara langsung melalui Facebook petang tadi.
Dr Mahathir menjawab soalan ke mana hala tuju Malaysia sekarang, pada pandangannya.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata kenyataannya itu tidak bermaksud amalan rasuah dahulu tiada namun ketika itu ia tidak melibatkan politik.
“Dulu ada rasuah, saya tidak kata tidak ada. Pada zaman British pun ada rasuah tapi tidak libatkan politik
“Sekarang ini kerana dalam bidang politik kita dapat kemudahan tertentu, ramai yang ingin masuk dalam politik kerana ingin dapatkan kuasa,” katanya.
Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2020 jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga 51 pada 2019.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100 berbanding skor sebanyak 53 peratus pada tahun sebelumnya.
Beliau turut ditanya mengenai dakwaan pemerintahahnnya turut terkait dengan budaya rasuah namun jawapannya ketika itu ia tidak begitu teruk dan hanya di peringkat ketua bahagian umno saja.
“Masa itu setakat nak jadi ketua bahagian saja kita boleh larang dan tukar. Tidaklah begitu teruk dan bukan sampai boleh mendirikan kerajaan.
“Saya bagi amaran berkali (dulu). Kita buat macam ini, rakyat tolak kita. Ini telah berlaku kerana kita dapati semakin lama semakin ramai orang politik menyertai politik bukan kerana nak menyumbang kepada bangsa dan agama tapi kerana nak ada tempat bagi diri sendiri,” katanya. – 17 Februari, 2021.
Komen