Dr Mahathir Mohamad berkata keputusannya letak jawatan perdana menteri pada 2003 adalah kekesalan terbesarnya selepas lapan dekad bergiat dalam politik.
Dalam wawancara dengan Sinar Harian, Dr Mahathir berkata tiada desakan pun untuk beliau letak jawatan pada masa itu, sebaliknya ia dilakukan kerana memikirkan umurnya pada masa itu sudah tua.
Dr Mahathir pada ketika itu berumur 78 tahun. Umurnya sekarang 95 tahun.
“Ya, saya kesal letak jawatan semasa tahun 2003. Saya berpendapat tak ada siapa suruh saya berhenti (pada masa itu).
“Saya masih popular… dapat sokongan dua pertiga tapi saya letak jawatan kerana saya fikir saya dah tua,” katanya, menjawab soalan tokoh wartawan Johan Jaaffar mengenai kekesalan terbesarnya dalam politik.
Wawancara dalam program “Bersama Tun M” disiarkan secara langsung melalui Facebook petang tadi.
Ditanya apakah kesal juga dengan keputusannya meletakkan jawatan buat kali kedua sebagai perdana menteri, Dr Mahathir berkata peletakan jawatannya pada hujung Februari tahun lalu bukan atas kehendaknya tetapi sesuatu yang terpaksa beliau lakukan.
“Saya terpaksa letak jawatan (kerana hilang sokongan parti),” katanya.
Dr Mahathir pertama kali mengumumkan letak jawatan dalam kerajaan dan parti (ketika itu Umno dan Barisan Nasional), semasa perhimpunan agung Umno pada Jun 2002.
Beliau menarik balik keputusannya lebih kurang sejam kemudian selepas didesak oleh pemimpin kanan Umno yang menolak peletakan jawatannya. Mereka kemudian bersetuju dengan tempoh peralihan kuasa selama setahun.
Dr Mahahtir letak jawatan secara rasmi selepas perhimpunan agung Umno pada Oktober 2003 dan digantikan oleh Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri kelima.
Dr Mahathir jadi perdana menteri untuk kali kedua selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.
MENYUSUL
Komen