HAMPIR 300,000 pegawai perubatan yang menjadi barisan hadapan kesihatan negara akan menerima suntikan vaksin pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), yang juga penyelaras program vaksinasi itu berkata kerajaan kini sedang berusaha membuat janji dengan barisan hadapan bagi mendapatkan suntikan mereka.
“Barisan hadapan kesihatan sudah dikenalpasti ... kira-kira 300,000 di antaranya sudah dikenal pasti melalui pangkalan data dalaman Kementerian Kesihatan.
“Kami sudah menghubungi mereka dan sekarang sedang menguruskan sistem pengurusan janji temu, agar kami dapat memberitahu bila dan di mana mereka perlu datang untuk menerima suntikan vaksin,” katanya di Putrajaya hari ini.
Vaksin Pfizer-BioNTech dijangka tiba di Malaysia pada 21 Februari dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula secara berperingkat mulai 26 Februari.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mengetuai untuk mendapatkan vaksin pada 26 Februari, bersama beberapa barisan hadapan.
Fasa pertama program imunisasi akan melibatkan vaksinasi 500,000 barisan hadapan perubatan dan bukan perubatan.
Khairy berkata ia disusuli barisan penjagaan kesihatan, barisan hadapan bukan kesihatan lain akan dikenal pasti untuk menerima suntikan mereka.
Beliau berkata penilaian risiko akan dilakukan untuk menentukan siapa yang akan menerima vaksin.
“Kami sekarang sedang meneliti senarai mereka yang bukan daripada sektor kesihatan, misalnya daripada imigresen, polis, angkatan bersenjata dan perkhidmatan barisan hadapan penting yang lain.
“Kami sedang menyiapkan kerangka penilaian risiko untuk memastikan mereka yang menerima vaksin pada fasa pertama benar-benar kumpulan berisiko terkena virus, dalam menjalankan tugas dan pekerjaan mereka.
“Kami akan segera memaklumkan sama ada mereka terpilih dan di mana dan bila akan diberi vaksin,” katanya.
Sementara itu, Khairy hari ini memberi jaminan semua vaksin yang diperoleh oleh negara adalah selamat dan berkesan.
Justeru, tiada sesiapa dibenarkan memilih vaksin tertentu.
“Apa pun vaksin yang dipersetujui oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), selamat dan berkesan.
“Oleh itu, anda tidak akan boleh memilih vaksin. Anda akan diberi masa, tempat dan tarikh janji temu anda, dan apa sahaja vaksin yang ada di sana. Saya jamin ia vaksin yang selamat dan berkesan,” katanya. – 17 Februari, 2021.
Komen