Jepun mula beri suntikan vaksin kepada petugas kesihatan


Pengarah Pusat Perubatan Tokyo Kazuhiro Araki secara sukarela menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19. – Gambar EPA, 17 Februari, 2021.

JEPUN mula memvaksinasi petugas kesihatan pada Rabu, ketika ia melancarkan program inokulasi dengan lebih lima bulan menjelang Olimpik Tokyo 2020.

Jepun setakat ini hanya meluluskan vaksin Pfizer/BioNTech, dan mula memberikan suntikan pertama di hospital Tokyo pada pagi Rabu.

Pengarah Pusat Perubatan Tokyo Kazuhiro Araki secara sukarela menjadi individu pertama menerima suntikan itu.

“Vaksin memainkan peranan penting dalam tindakan anti-koronavirus. Jadi saya fikir sebagai pengarah saya harus mengetuai dan mengambil suntikan,” katanya kepada wartawan.

“Saya tidak suka mengambil suntikan,” akuinya.

“Tetapi ia tidak menyakitkan, jadi ia bagus. Saya lega.”

Jururawat Rino Yoshida, yang memakai pelitup muka, kelihatan tenang kerana menjadi antara individu pertama di Jepun yang diberi vaksin di luar ujian klinikal.

“Saya dapat merasakannya masuk tetapi tidak sakit. Tiada rasa sakit atau bengkak,” katanya kepada penyiar nasional NHK.

“Angka kematian dan risiko penyakit menurun di luar negara, jadi semoga vaksinasi yang bermula di Jepun dapat mengubah keadaan di sini,” katanya.

Seramai 12 kakitangan di fasilitas itu diberi vaksin pada Rabu, di depan media, dengan jumlah 800 orang yang bersedia menerima suntikan termasuk pegawai pentadbiran.

Jepun pada awalnya merancang memberi vaksin kepada 40,000 pekerja penjagaan kesihatan di seluruh negara, dan akan mengkaji kesan vaksin dua dos itu terhadap 20,000 orang daripadanya.

Dos akan diberikan tiga minggu lagi, dengan individu dalam kumpulan kajian diminta menyimpan catatan setiap hari mengenai kesan atau reaksi sampingan, kata media tempatan.

Negara itu berharap dapat memvaksinasi sekitar 3.7 juta petugas kesihatan dari Mac - dengan suntikan kira-kira 36 juta orang berusia 65 tahun ke atas mulai April.

Program ini akan dilanjutkan kemudian kepada mereka yang mempunyai penyakit sedia ada atau bekerja dengan orang tua, dan akhirnya kepada penduduk umum, tetapi belum ada perincian mengenai masa untuk itu.

Jepun mencapai perjanjian dengan tiga syarikat farmaseutikal utama untuk membeli dos vaksin Covid-19 yang mencukupi untuk populasi 126 juta.

Tetapi setakat ini hanya Pfizer yang mendapat kelulusan, walaupun AstraZeneca telah mengemukakan permintaan untuk persetujuan.

Proses persetujuan Jepun lebih perlahan berbanding beberapa negara lain kerana memerlukan ujian domestik tambahan.

Tetapi negara itu juga mengalami wabak yang jauh lebih terhad berbanding negara yang terjejas teruk seperti Britain atau Amerika Syarikat.

Ia mencatatkan hampir 418,000 jangkitan dan hanya lebih 7,000 kematian setakat ini.

Lonjakan kes akhir tahun lalu mendorong kerajaan melaksanakan darurat, yang kini berjalan di Tokyo dan beberapa bahagian lain di negara ini hingga 7 Mac.

Langkahnya terhad dengan meminta restoran dan bar ditutup pada jam 8 malam, orang ramai digesa tetapi tidak diarahkan untuk tinggal di rumah. – AFP, 17 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen