2018 tahun pilihan raya, pemilihan parti  


Chan Kok Leong

PRU14 merupakan pilihan raya yang ditunggu-tunggi berikutan beberapa isu dijangka menjadi pertandingan sengit dalam sejarah politik tanah air. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.

2018 merupakan tahun mengenai politik dan pilihan raya umum (PRU), yang mana Perdana Mneteri Najib Razak menyifatkannya sebagai “Bapa segala pilihan raya”.

Walaupun kebanyakan rakyat Malaysia dan pengundi sudah letih dalam politik, ia masih menjadi salah satu pilihan raya yang dinanti-nantikan, memandangkan ia berpotensi akan membawa perubahan sebagaimana yang berlaku pada tahun lalu yang melemahkan cengkaman parti Umno dalam undi Melayu.

Ini termasuk penyertaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam pembangkang dan skandal menyelubungi Felda yang secara tradisinya merupakan bank undi buat pakatan pemerintah. 

Undi popular kepada Barisan Nasional (BN) sudahpun terhakis, iaitu hanya 48% sahaja berbanding 52% kepada pembangkang pada PRU13. 

Dan selepas PRU14, parti politik utama akan menjalankan pilihan raya dalaman mereka juga. Keputusan pilihan raya parti Umno, khususnya sama ada Najib akan kekal sebagai presidennya, akan bergantung kepada keputusan PRU14. 

Pilihan raya sebelum Mei?

PRU14 mesti diadakan sebelum 24 Ogos kerana Parlimen akan terbubar secara automatik pada 24 Jun. 

Mengikut undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya 60 hari daripada pembubaran Parlimen. 

Namun, dengan bulan Ramadan yang dijangka bermula pada 15 Mei dan pembebasan awal ketua umum PKR, Anwar Ibrahim pada Jun, BN dijangka akan mengadakan pilihan raya sebelum Mei.

Kemungkinan tarikh PRU14 adalah pada cuti sekolah semester pertama iaitu antara 16 Mac hingga 24 Mac yang akan memudahkan lagi SPR menggunakan bangunan sekolah sebagai pusat mengundi. 

Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.

Namun pada 2013, PRU13 bagaimanapun diadakan tiga minggu sebelum cuti penggal kedua persekolahan pada 5 Mei. 

Satu indikator utama adalah apabila BN mengadakan sidang Parlimen khas untuk meluluskan proses persempadanan semula SPR. 

SPR, selepas menyelesaikan beberapa bantahan undang-undang daripada pembangkang, menerima beberapa persoalan terhadap proses persempadanan semula pilihan raya di Selangor. Proses bagi negeri lain sudah siap. Sebaik saja pendengaran untuk Selangor selesai, SPR boleh membentangkan persempadanan itu kepada Najib untuk dibentangkan di Dewan Rakyat. 

BN hanya memerlukan majoriti mudah untuk meluluskan cadangan persempadanan semula kerana ia tidak melibatkan perubahan jumlah kerusi Parlimen. Sebaik sahaja ia diterima Parlimen, BN boleh mengadakan pilihan raya dengan persempadanan yang baru diubah. 

Kajian oleh Institut Pulau Pinang menunjukkan cadangan SPR hanya akan mewujudkan lebih banyak kerusi majoriti Melayu. 

Pada PRU13, BN memenangi 77 (53.4%) daripada 114 kerusi majoriti Melayu dan hanya lapan daripada 29 kerusi campuran di Semenanjung Malaysia. BN kehilangan semua kerusi majoriti Cina. 

“Dari sudut taktikal, BN memerlukan persempadanan baru untuk meningkatkan peluangnya dengan mewujudkan lebih banyak kerusi majoriti Melayu,” kata Pengarah Ilham Center Hisommudin Bakar. 

Bagaimanapun, kenyataan SPR baru-baru ini bahawa pembubaran parlimen adalah prerogatif perdana menteri dan PRU14 boleh diadakan walaupun sebelum persempadanan semula diluluskan, akan menjadi petunjuk bahawa pilihan raya boleh diadakan lebih awal, tambah Hisommudin. 

“Tetapi jika BN tidak menggunakan persempadanan semula, pertandingan akan lebih sengit,” kata penganalisis sains politik itu. 

Siapa yang akan menang?

Walaupun BN dijangka akan berdepan dengan cabaran yang hebat daripada pembangkang, Dr Wong Chin Huat daripada Institut Pulau Pinang menjangkakan satu lagi kemenangan BN, melainkan PH dan Dr Mahathir boleh memberi kegembiraan yang cukup kepada pengundi. 

“Saya menjangka peratusan yang lebih rendah, sekitar 70% di kawasan tertentu berbanding dengan 84% pada tahun 2013,” katanya yang juga ahli akademik sains politik.

“Seolah-olah terdapat banyak keletihan politik pada masa ini dan ditambah pula dengan persempadanan semula yang dilihat sedia untuk pertandingan tiga penjuru yang disebabkan oleh PAS, BN akan menang lagi,” tambahnya. 

PRU14 bakal menyaksikan perubahan peratusan pengundi berikutan perpecahan parti politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.

Wong menjangka jumlah undi BN dan Umno akan menurun walaupun pakatan pemerintah boleh memenangi lebih banyak kerusi kerana persempadanan semula. 

“Semua itu bagaimanapun, boleh berubah sekiranya PH boleh menggembirakan pengundi bukan Melayu sambil meningkatkan undi Melayu, menjadikan masalah undi rendah itu kepada BN dan PAS.”

PAS pernah menjadi sebahagian daripada pembangkang di bawah Pakatan Rakyat, namun kini bersendirian dan menubuhkan pakatan pembangkang bersama parti yang lebih kecil, Gagasan Sejahtera.

“Mampukan PH dan Dr Mahathir mewujudkan sinergi menerusi perdamaian bagi membolehkan mereka mendapat lebih banyak undi Melayu?

“Sekiranya itu berlaku, Umno akan mendapat keuntungan yang minimum dan PAS akan mendapati dirinya dihukum secara teruk kerana strateginya untuk menunggang Umno,” kata Wong.

Hisommudin turut meramalkan berlaku kekurangan undi berbanding PRU13 berikutan masalah dalaman yang dihadapi PH. 

“Krisis terbaru dalam menamakan calon perdana menteri tidak membantu penyokongnya yang merupakan graduan universiti dan penjawat awam yang tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar. 

“Tumpuan PRU14 akan bergantung kepada kerusi luar bandar dan majoriti Melayu. Pemergian PAS membantu BN tetapi jika undi undi Melayu cukup baik, ia akan mengganggu keseimbangan lagi,” kata Hisommudin, yang menjalankan kaji selidik kualitatif dan fokus utama berbanding tinjauan kebangsaan.

Lebih banyak pilihan raya selepas pilihan raya 

Satu lagi acara yang akan menjadi agenda utama dalam kalendar politik tahun depan adalah pemilihan parti. 

Degaan pengecualian PAS yang mengadakan pemilihan partinya pada 2017, parti utama seperti Umno, MCA, MIC, PKR dan DAP perlu memilih peneraju baharu. 

Bagaimanapun, DAP berada dalam keadaan tidak puas kerana parti itu hanya mengadakan pemilihan semula untuk kepimpinan pusatnya pada November selepas ia diarahkan untuk berbuat demikian oleh Pendaftar Pertubuhan, berdasarkan senarai perwakilan 2012 mereka.

Tidak dinafikan, fokus akan diberikan kepada pemilihan parti Umno kerana presiden dan timbalan presiden kebiasaannya juga adalah perdana memteri dan timbalan perdana menteri. 

Fokus pemilihan parti tetap diberikan kepada Umno berikutan jawatan presiden dan timbalan presidennya secara tradisi sama dengan perdana menteri dan timbalan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.

Walaupun parti meluluskan resolusi untuk tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden, bagi memberi laluan kepada Najib dan naib presiden Ahmad Zahid Hamidi menerajui parti, isu itu masih belum selesai, menurut sumber dalaman Umno. 

“Usul itu membantu Najib dan Zahid tetapi kebanyakannya bergantung pada PRU14,” kata salah seorang perwakilan pada perhimpunan agung Umno yang diadakan awal bulan ini. 

“Sekiranya Umno kekal, atau lebih baik berbanding PRU13, ia tidak akan timbul isu. Tetapi sekiranya kita menang dengan kurang 88 kerusi, kemungkinan akan ada gesaan untuk pemimpin baharu,” kata bekas pemimpin Pemuda itu. 

Pada PRU13, BN memenangi 133 kerusi berbanding 140 kerusi pada pilihan raya sebelumnya. Umno bagaimanapun masih mampu meningkatkan keputusan dengan sembilan kerusi. 

Pemimpin akar umbi juga menyebut, bekas presiden Abdullah Ahmad Badawi kelihatan tidak selesa sebelum PRU12, sehingga Umno kehilangan 30 kerusi dalam pilihan raya 2008. Umno menyumbang lebih separuh kehilangan 58 kerusi BN pada tahun itu.

Abdullah meletakkan jawatan pada pemilihan Umno 2009 selepas berdepan kesukaran untuk mendapatkan pencalonan bagi mempertahankan jawatan parti, dan Najib menggantikannya. – 31 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Diharapkan semua rakyat dapat keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi & memilih kerajaan yg mampu membantu rakyat bukannya yg hanya panfai fitnah & cakap saja..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan