KERAJAAN mesti tegas dalam menangani pembohongan, ucapan kebencian dan jenayah kebencian demi perpaduan negara, kata Lim Kit Siang.
Beliau berkata kegagalan melakukannya akan menimbulkan rasa curiga, tidak percaya dan kebencian antara kaum dan agama dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata pembohongan, berita palsu dan ucapan kebencian sudah mencapai tahap baru di Malaysia.
“DAP di satu pihak, dituduh sebagai anti-Melayu dan anti-Islam oleh satu kumpulan sementara, pada masa sama, dituduh menjual hak dan kepentingan kaum Cina dan bukan Islam oleh kumpulan lain, dengan kedua-dua kumpulan saling bekerjasama,” katanya.
Beliau juga memberikan beberapa contoh bagaimana secara peribadi dijadikan sasaran serangan seperti itu dalam beberapa tahun terakhir, termasuk dakwaan peranannya dalam rusuhan 13 Mei 1969.
“Pembohongan, berita palsu, dakwaan palsu dan ucapan kebencian ini sangat berpengaruh dalam dekad terakhir dengan munculnya era maklumat dan media sosial tetapi tiada yang ditangkap atau diadili atas pembohongan dan jenayah kebencian ini.”
Beliau menambah salah satu pengajaran daripada kejatuhan bekas kerajaan Pakatan Harapan selepas hanya 22 bulan adalah perlunya undang-undang berkesan untuk menangani pembohongan, ucapan kebencian dan jenayah kebencian.
“Adakah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan memberikan sokongan penuh, demi kesatuan negara, agar tindakan tegas dan berkesan diambil terhadap pembohongan, ucapan kebencian dan jenayah kebencian di Malaysia?
“Malaysia sangat memerlukan tindakan yang tegas dan berkesan terhadap ucapan kebencian dan jenayah kebencian yang, jika tidak dipantau, boleh menjerumuskan Malaysia kepada perpecahan dan polarisasi lebih besar yang mengakibatkan negara gagal,” katanya.
Lim menambah kepelbagaian Malaysia mesti dianggap sebagai aset dan bukannya liabiliti, dan tidak hanya disebut semasa pelancaran pelan perpaduan nasional.
Beliau merujuk kepada pelancaran Dasar Perpaduan Nasional dan Pelan Pembangunan Perpaduan Nasional 2021-2030 oleh Muhyiddin dua hari lalu.
Beliau berkata Malaysia mesti mengambil pengajaran daripada negara lain, terutama Amerika Syarikat, mengenai berita palsu, dakwaan palsu dan ucapan kebencian di era media sosial, kerana kegagal berbuat demikian akan menjadikan dasar dan rangka tindakan perpaduan baru kerajaan tidak bermakna.– 17 Februari, 2021.
Komen