SETAHUN sebelum projek empangan hidroelektrik Nenggiri dijadualkan bermula, Orang Asli di Gua Musang, Kelantan mendesak kerajaan negeri berterus terang mengenai bagaimana ia akan memberi kesan kepada 10 kampung di daerah itu.
Mereka mahu kerajaan negeri bersikap telus dan memberi mereka maklumat yang boleh dipercayai mengenai pembinaan dua empangan tebatan banjir itu.
Jurucakap komuniti Orang Asli memberitahu The Malaysian Insight, majoriti mereka di Gua Musang menentang projek tersebut.
“Walaupun ada individu tertentu menyokong projek ini, banyak yang menentangnya.
“Mereka tahu projek itu akan membahayakan hutan dan kampung mereka.
“Apa yang kita perlukan sekarang adalah maklumat yang telus dan boleh dipercayai mengenai projek ini. Kami perlu diberitahu.
“Ada laporan penilaian kesan persekitaran (EIA) baharu mengenai projek ini. Kami perlu tahu apa penemuannya,” kata jurucakap yang tidak mahu disebutkan namanya.
Bagaimanapun, beliau berkata satu perkara yang pasti ialah Kampung Pos Tehoi akan teruk terjejas jika berlaku hujan lebat apabila projek itu dimulakan.
Beliau berkata selain Kampung Pos Tehoi, beberapa kampung lain dari suku Temiar dan Batek juga akan terjejas.
Antara kampung tersebut ialah Kampung Pos Pulat, Kampung Wias, Kampung Pos Tehoi dan Kampung Kuala Wook.

Sementara itu, Pengasas Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) Dr Colin Nicholas berkata Orang Asli berusaha melobi kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelumnya untuk mengkaji semula projek tersebut tetapi usaha mereka terhenti selepas PH jatuh.
“Kami memang cuba berbincang dengan menteri yang menjaga hal ehwal Orang Asli tetapi kami tidak dapat meneruskannya kerana terdapat perubahan pemerintahan,” katanya.
Nicholas juga mengakui Orang Asli tidak bersatu dalam projek ini.
“Separuh Orang Asli menentangnya sementara yang lain menyokong projek ini,” katanya.
Pada Ogos 2020, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerja awal projek empangan hidroelektrik Nenggiri dijadualkan bermula pada Mac 2022.
Beliau berkata ini akan merangkumi, antara lain, penempatan semula masyarakat Orang Asli, sekolah dan kemudahan asas lain.
Amar berkata sebanyak 10 kampung Orang Asli terletak di sekitar kawasan empangan tetapi hanya tiga kampung akan dipindahkan kerana mereka akan terjejas secara langsung oleh kerja pembinaan.
Kontroversi bermula pada 2015 ketika ketua belia Jawatankuasa Orang Asli Kelantan Dendi Johari berkata rancangan tebatan banjir akan memusnahkan perkampungan Orang Asli.
Beliau berkata projek itu akan memusnahkan kediaman, sejarah, kawasan perkuburan dan hutan yang menjadi sumber makanan dan pendapatan mereka.
“Kami benar-benar menentang pembinaan empangan,” katanya, sambil menambah Orang Asli tidak dibawa berunding mengenai projek itu. – 17 Februari, 2021.
Komen