Muhyiddin tuntut Puad Zarkashi bayar ganti rugi RM10 juta, lapor media


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengeluarkan notis tuntutan kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi yang didakwa memfitnah beliau melalui satu tulisan di Facebook. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengeluarkan notis tuntutan kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi yang didakwa memfitnah beliau melalui satu tulisan bertajuk “Kuarantin pun ada dua darjat?” di Facebook baru-baru ini, lapor media.

Notis berkenaan dikeluarkan oleh firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership, lapor portal berita bisnes The Edge. Ia dilapor sudah diserahkan kepada Mohd Puad hari ini.

Dalam notis itu, Perdana Menteri meminta ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) semasa pentadbiran Najib Razak meminta maaf kepadanya secara terbuka dan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta atas tulisan berbaur fitnah itu.

Melalui tulisannya itu, Mohd Puad telah memberikan gambaran Muhyiddin menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri apabila didakwa kononnya enggan menjalani kuarantin sebaik pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, lapor portal berita bisnes The Edge memetik notis tuntutan tersebut.

Tulisan itu juga menjejaskan wibawa dan nama baik Muhyiddin, sekali gus keyakinan umum terhadapnya sebagai pemimpin, kata laporan itu.

Dalam tulisannya pada 9 Februari lalu, Mohd Puad mendakwa berlaku kekecohan di lapangan terbang di Subang semasa rombongan Muhyiddin pulang dari Jakarta kerana mereka enggan menjalani kuarantin wajib 10 hari.

Mohd Puad juga meminta Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menjelaskan alasan sebenar pengecualian kepada Jemaah Menteri, yang dibenarkan kuarantin hanya tiga hari.

Pengecualian itu bagaimanapun pada 9 Februari sedangkan Muhyiddin pulang dari Jakarta pada 5 Februari, selepas lawatan dua hari ke Indonesia atas jemputan Presiden Joko Widodo.

Pada 9 Februari lalu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan satu kenyataan menafikan tuduhan Mohd Puad dalam tulisannya itu. Kenyataan itu juga menyebut Muhyiddin menjalani kuarantin di rumah sejak pulang dari lawatan rasmi itu.

Melalui notis tuntutan itu, Muhyiddin juga mahu Mohd Puad memadamkan tulisan itu, yang dimuat naik ke Facebook pada 9 Februari lalu, serta tidak mengulanginya lagi.

Laporan yang memetik notis tuntutan itu menyebut sekiranya Mohd Puad gagal memenuhi tuntutan tersebut tujuh hari daripada hari ini (16 Februari), satu tindakan undang-undang akan difailkan terhadapnya di mahkamah.

Notis tuntutan itu turut mengingatkan Mohd Puad bahawa tulisan yang dipertikaikan adalah juga kesalahan jenayah fitnah mengikut Kanun Keseksaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini menjelaskan kuarantin tiga hari untuk menteri yang pulang dari lawatan ke luar negara dibenarkan kerana mereka melalui “terowong perjalanan”, iaitu prosedur pergerakan yang terkawal pergi dan balik.

Ia juga tidak dibenarkan untuk semua menteri kerana tertakluk kepada proses lawatan dan permohonan untuk pengecualian yang perlu dibuat sebelum lawatan, katanya.

Mohd Puad adalah juga bekas timbalan Muhyiddin semasa Muhyiddin memegang jawatan menteri pendidikan antara 2009 hingga 2013. 

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu bagaimanapun gagal mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya umum 2013. Beliau kemudian tidak pula dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) bertanding dalam pilihan raya umum 2018. – 16 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen