6 kluster baharu Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini


Desmond Davidson

Golongan warga emas termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2021.

DUA rumah orang tua di Sibu adalah antara enam kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan Sarawak hari ini.

Selebihnya, semuanya diklasifikasikan sebagai kluster komuniti, terletak di Samarahan, Kuching, Kapit dan Bintulu.

Kluster Geronggang di Sibu, yang dinamakan sempena jalan di kediaman itu, setakat ini meragut satu nyawa daripada 41 orang - penghuni pusat dan kontak rapat - yang didapati positif pada tengah hari tadi.

Mangsa adalah penghuni rumah orang tua yang berusia 73 tahun.

Jabatan Kesihatan berkata kes indeks kluster itu adalah seorang lelaki berusia 77 tahun yang didapati positif pada 10 Februari selepas menunjukkan gejala.

Satu lagi rumah jagaan warga tua yang terlibat adalah pusat kluster Mas Merah.

Rumah itu berada di Jalan Teng Chin Hua di Sungai Merah, di pinggiran Sibu, dan sehingga kini mengesan 10 kes, termasuk kes indeks, daripada 48 penghuni dan orang yang menjadi kontak rapat dengan kediaman tersebut.

Manakala, 38 yang lain masih menunggu keputusan ujian swab mereka.

Kes indeks, seorang pekerja wanita di rumah jagaan, diperintahkan menjalani ujian pada Sabtu lalu selepas didapati mempunyai kontak dengan individu dijangkiti.

Apabila keputusannya positif, pengesanan kes aktif segera dibuat untuk semua penghuni atau yang berkaitan dengannya.

Kluster baharu lain hari ini adalah kluster Univista di Samarahan, dengan sumber jangkitan adalah penjual sate berusia 33 tahun yang beroperasi di luar kediamannya. 

Kini terdapat 45 kes daripada 184 orang yang menjalani ujian saringan.

Kluster ini merangkumi tiga kawasan - Kampung Muara Tuang, Taman Samarax dan pusat Taman Univista.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan pada tengah hari hari ini memeriksa 50 penduduk dalam kluster Sungai Sungai Maong di Kuching dan 18 orang didapati positif, termasuk kes indeks.

Kes indeks dikenal pasti sebagai pengawal keselamatan berusia 38 tahun di hospital besar Sarawak (SGH).

Baki dua kluster lain adalah Gelong di Kapit dan Kidurong Dua di Bintulu.

Enam kluster baharu menjadikan kluster aktif negeri sebanyak 21.

Sarawak juga melaporkan satu lagi kematian akibat Covid-19 hari ini, yang ke-62 - seorang wanita berusia 83 tahun dari Nanga Banjor di daerah Song yang meninggal dunia semalam.

Beliau meninggal dunia di hospital Sibu, di mana beliau ditahan pada 5 Februari selepas mengadu sesak nafas. Mangsa didapati positif pada 25 Januari. – 16 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen