PKP kekal hanya di KL, Selangor, Pulau Pinang dan Johor, umum Ismail Sabri


Selangor, Johor dan Penang, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kekal diletakkan di bawah PKP sehingga 4 Mac ini, sementara di semua negeri lain kecuali Perlis dilonggarkan menjadi kawalan bersyarat (PKPB). – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 16 Februari, 2021.

PERINTAH kawalan pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur dan di tiga negeri iaitu Selangor, Johor dan Penang kekal sehingga 4 Mac ini, sementara di semua negeri lain kecuali Perlis dilonggarkan menjadi kawalan bersyarat (PKPB), umum menteri kanan Ismail Sabri Yaacob.

Perlis satu-satunya negeri yang akan menjalani sekatan yang lebih longgar apabila diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), tambahnya.

Menurut Ismail Sabri, perintah baharu itu berkuat kuasa pada Jumaat 19 Februari, sebaik tamat perintah sedia ada pada 18 Februari.

“Bagi Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Putrajaya, Labuan dan Sabah, kerajaan setuju untuk meletakkan negeri-negeri ini di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, petang ini.

Status Sarawak yang sedang menjalani PKPB kekal tidak berubah iaitu sehingga 1 Mac, tambahnya.

Rentas negeri masih tidak boleh

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sepanjang tempoh sama juga, orang ramai tidak lagi disekat daripada bergerak ke luar daripada jarak 10 kilometeri radius, seperti yang dikenakan sebelum ini.

Mereka bagaimanapun masih perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa bagi perjalanan rentas daerah dan negeri, katanya.

“Larangan rentas daerah dan negeri masih dikekalkan di kawasan PKP, PKPB, PKPP,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan negeri-negeri yang dikeluarkan daripada pelaksanaan PKP masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“SOP masih sama. Bagi kawasan PKPB, boleh makan di tempat dengan lebih daripada dua orang di satu meja tetapi mesti ada penjarakan.

“Spa, perhimpunan, perkahwinan dibenarkan tetapi mesti patuh SOP,” katanya.

Ismail Sabri berkata beliau akan mengumumkan SOP yang baharu pada Khamis ini. – 16 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen