DASAR Perpaduan Negara yang dilancarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam hanyalah sekadar “mengitar semula idea lama”,” kata presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan.
Beliau berkata negara telah melihat banyak dasar yang dirumuskan dalam 58 tahun ini, semuanya dengan visi yang sama untuk Malaysia yang lebih baik.
“Setiap kali perdana menteri bertukar, Malaysia akan ada perubahan dasar tetapi tidak ada yang berjaya (menjadikan) Malaysia lebih makmur, patriotik dan bersatu,” kata Voon yang merupakan bekas ahli Parlimen DAP.
Voon, yang kini memimpin parti menuntut kemerdekaan negeri Sarawak itu berkata, semua dasar lalu “digubal dengan rancangan yang indah dan bahasa Shakespeare dengan visi yang sama”.
Beliau menafikan mereka sebagai “tidak lebih dari retorik untuk memastikan perdana menteri menikmati warisannya sendiri untuk kekal berkuasa”.
Muhyiddin semalam melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dengan objektif untuk memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, untuk menyemai identiti kebangsaan dan membentuk rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.
Voon, bagaimanapun berkata, jika Muhyiddin serius dalam membentuk identiti kebangsaan, beliau harus membatalkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak, dan mengesahkan kepentingan masyarakat lain di negara ini.
Beliau berkata dengan menghapuskan Artikel 153, ia akan “meletakkan setiap rakyat setara antara satu sama lain dalam pembangunan sosial, agama, politik, ekonomi dan peluang dalam perkhidmatan kerajaan”.
“Ketika warga disetarakan, tidak akan ada diskriminasi dan jeritan ‘Balik Tongsan’, ‘Balik India’,” tambahnya.
Voon berkata semua dasar ekonomi yang dikerahkan untuk memberi kelebihan kepada satu kaum, atau kumpulan, harus dibatalkan.
“Semua rakyat patut diberi peluang yang sama untuk mengejar pertumbuhan ekonomi dan membangunkan negara,” tambahnya. – 16 Februari, 2021.
Komen