KEMENTERIAN Kesihatan patut jelaskan apa perlu dibuat apabila seseorang itu disahkan positif Covid-19 selepas membuat ujian persendirian, kata Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.
Orang ramai masih tidak jelas apakah mereka dianggap “pesakit positif yang disahkan” jika hasilnya diperoleh melalui ujian RTK-Antigen, atau jika hanya ujian PCR yang diterima, kata ahli Parlimen DAP itu.
Setelah diuji positif, mereka tidak pasti adakah cukup hanya menyatakan status jangkitan mereka di aplikasi MySejahtera, atau juga harus melaporkan diri ke Pusat Penilaian Covid (CAC).
“Mesej kementerian mengenai CAC gagal menangani (dua masalah ini).
“Sekiranya ujian RTK-Antigen tidak diterima sebagai bentuk pengenalpastian kes positif, kementerian harus bercakap secara terbuka, dan juga memberi jaminan berapa cepat mereka yang diuji positif oleh RTK-Antigen boleh diuji ulang dengan PCR di mana-mana kemudahan kerajaan.
“Kementerian harus memberikan arahan yang jelas tentang apa yang harus dilakukan setelah diuji, baik melalui RTK-Antigen atau PCR. Selain menyatakan dirinya positif di MySejahtera, apakah wajib bagi orang tersebut untuk melaporkan diri ke CAC?” katanya dalam satu kenyataan.
Kementerian itu berkata tujuan CAC adalah untuk mengenal pasti, menilai, memantau dan menguruskan pesakit yang telah disahkan positif Covid-19, selain menguruskan mereka yang tidak simptomatik atau dengan bergejala ringan yang mesti dikuarantin sendiri di rumah bagi mengelakkan hospital padat.
Mereka yang telah diuji positif seharusnya menunggu panggilan dari pejabat daerah kesihatan mereka (PKD) namun Rajiv berkata, ini tidak berlaku seperti yang diketahui umum, memandangkan pekerja kesihatan awam menghadapi beban dengan lebih dari 50,000 kes aktif Covid-19.
“Laporan menunjukkan ramai pesakit positif Covid-19 tidak dikenal pasti, apatah lagi dihubungi walaupun setelah diuji positif. Sesetengah mereka hanya dihubungi setelah tempoh kuarantin mereka,” katanya.
Berhubung kekeliruan sama ada ujian RTK-Antigen diterima oleh kementerian, Rajiv berkata, salah satu pengundi di Bukit Gasing diuji positif melalui ujian RTK-Antigen, dan sekali lagi dalam ujian PCR lapan hari kemudian. Lelaki itu kuarantin dirinya sendiri selepas ujian pertama untuk mengelak daripada menjangkiti seluruh keluarganya.
Ketika beliau pergi ke CAC untuk mendapatkan surat pelepasan setelah sepuluh hari di kuarantin diri dari tarikh hasil positif RTK-Antigen, beliau diberitahu bahawa CAC tidak menerima hasil ujian RTK-Antigen, dan mewajibkan beliau untuk karantina tambahan dari tarikh keputusan PCR.
“Tindakan lelaki itu untuk kuarantin diri sejajar dengan banyak pengumuman oleh kerajaan untuk kuarantin diri dan menyatakan status positif Covid-19 di aplikasi MySejahtera. Menurut pemahamannya, serta beberapa yang lain dalam pengamal perubatan yang telah saya semak, beliau mematuhi pengumuman terbaharu itu.
“Beliau juga mengesahkan dengan pusat di mana beliau melakukan ujian antigen RTK dan mereka telah memuat naik hasil positifnya ke SIMKA (sistem pelaporan dalam talian kementerian) seperti yang diminta oleh KKM.”
Rajiv berkata kejadian seperti itu ketika jumlah kes Covid-19 masih tinggi, menunjukkan kurangnya sikap proaktif kerajaan dengan strategi mereka.
“Sekarang ini, bukan saja mereka hilang kawalan, malah mereka juga membuat rakyat turut hilang kawalan,” tambahnya. – 16 Februari, 2021.
Komen