AHLI farmasi dan pengamal am (GP) perlu terlibat menguruskan vaksin Covid-19 di bawah program imunisasi kerajaan, kata kumpulan penyokong dasar kesihatan awam.
Melihat “skala besar dan tenaga kerja yang terlibat” dalam usaha imunisasi 26.5 juta orang pada akhir Februari tahun depan, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, Putrajaya perlu jadikan ahli farmasi dan doktor pengimun kerana penting bagi mereka sebagai tenaga kerja program itu.
“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan harus melibatkan ahli farmasi dan doktor sebagai pengimun agar dapat meningkatkan usaha vaksinasi di seluruh negara,” kata ketua eksekutif pusat itu, Arul Mohd Khalid dalam satu kenyataan.
“Dengan kerajaan menyasarkan 126,000 orang diberi vaksin setiap hari, ini harus menjadi pendekatan langsung. Sistem kesihatan kerajaan tidak patut dan tidak boleh memikul beban itu sendirian, terutama ketika berurusan dengan pandemik Covid-19 yang berlaku sekarang ini.”
Menggerakkan ahli farmasi dan doktor dapat memudahkan doktor dan jururawat untuk merawat, kata pegawai penyelidik pusat dan ahli farmasi berdaftar Winnie Ong dalam kenyataan itu.
“Menggerakkan ahli farmasi dan doktor ke tempat vaksinasi dapat menjadi salah satu mekanisme meningkatkan tenaga kerja bagi menyampaikan sekitar 75,000-150,000 suntikan diperlukan setiap hari.
“Yang lain adalah bagi menerapkan program vaksinasi berasaskan farmasi, di mana ahli farmasi masyarakat terlatih memberikan vaksinasi di tempat mereka.”
Tambah Ong, bersama klinik GP dan menggunakan ahli farmasi dapat memudahkan penduduk yang memenuhi syarat mendapatkan suntikan vaksin mereka, mencegah penumpukan penduduk di tempat vaksinasi, dan membenarkan sistem kesihatan awam memiliki sumber cukup untuk menjangkau kawasan terpencil dan rumah jagaan orang tua.
Strategi untuk menggunakan ahli farmasi dan doktor akan membawa manfaat bagi negeri-negeri berpenduduk padat seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
Menggunakan ahli farmasi sebagai sebahagian daripada tenaga kerja imunisasi diamalkan di sekurang-kurangnya 36 negara, menurut Persekutuan Farmaseutikal Antarabangsa tahun lalu.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin awal hari ini mengumumkan program imunisasi Covid-19 kebangsaan yang akan bermula pada 26 Februari, setelah negara menerima vaksin pertama Pfizer-BioNTech pada 21 Februari.
Program ini akan dilaksanakan dalam tiga peringkat: 26 Februari hingga April untuk barisan hadapan; April hingga Ogos untuk kumpulan berisiko tinggi; dan dari bulan Mei hingga Februari tahun depan, untuk orang dewasa berumur 18 tahun ke atas. – 16 Februari, 2021.
Komen